PETALING JAYA: Bekas ratu cantik Malaysia 2014, Dewi Liana Seriestha menzahirkan penghargaan buat Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pengorbanannya kepada rakyat sebagai Perdana Menteri lebih-lebih lagi ketika negara berdepan krisis Covid-19.
Dewi menerusi satu perkongsian di Instagram berkata dia menghargai usaha yang dicurahkan Muhyiddin dan mendoakan agar tuhan memberkati Perdana Menteri ke-8 dan keluarganya.
“Beliau mengambil alih ditengah-tengah krisis. Termasuk saya, tiada siapa memahami apa yang dilalui beliau.
“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas khidmatnya kepada negara.
“Letak jawatan atau tidak, kedua-duanya. Anda telah melakukan yang terbaik! Saya menghargainya!” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Dewi yang juga seorang penyanyi menegaskan penghargaannya itu tidak didorong oleh mana-mana parti politik.
“Ini adalah tanda penghargaan daripada seorang anak. Beliau seperti seorang ayah.
“Hidup terlalu singkat untuk saling membenci. Marilah kita sama-sama mendoakan yang terbaik bukan sahaja untuk bangsa dan negara, malah seluruh dunia.
“Marilah kita saling berbuat baik kepada satu dengan lain,” tulisnya lagi.
Muhyiddin telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekitar awal pagi tadi.
Beliau kini dilantik sebagai Caretaker bagi jawatan itu sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.