JAKARTA : Anak kepada Allahyarham pemuzik dan pemain gitar bertaraf legenda Indonesia, Deddy Dores, Calvin Dores, mendedahkan dia terpaksa melelong sebuah gitar elektrik kesayangan arwah ayahnya demi menampung bil perubatan ibunya di hospital.
Perkara itu diakui Calvin yang terpaksa berbuat demikian setelah dibelenggu dengan keadaan kesihatan ibunya, Dakmar, yang menderita sakit jantung selain penyusutan otak di sebelah kanan serta penyumbatan otak di bahagian kiri.
“Ibu alami sakit jantung sejak tahun 2015 dan setiap bulan apabila menjalani rawatan di hospital harus berada dalam keadaan terkawal kerana ada sumbatan baru.
“Perubatan hospital tentunya mahal dan kerana itu saya membuat keputusan untuk melelong gitar elektrik kesayangan arwah ayah, jenama Merk Fender keluaran Amerika Syarikat pada tahun 2010-2011.
“Tiada lain, tujuannya adalah demi melihat mama sembuh memandangkan keadaannya agak komplikasi. Bagaimanapun,saya bersyukur kerana ada pelbagai pihak yang menghulurkan bantuan secara peribadi kepada ibu.
“Bahkan, ada individu yang tidak kami kenali pun turut sama menyumbangkan wang demi membiayai perubatan ibu,”katanya.
Selain itu, kata Calvin, dia sedar ramai yang mempersoalkan tindakannya menjual gitar kesayangan arwah ayahnya itu selain terpaksa berdepan dengan sesetengah warganet yang menyindir Calvin sebagai individu yang cuba mencari perhatian.
“Banyak yang tanya pasal gitar ini. Sebenarnya, saya juga lama berfikir sama ada perlu jual atau tidak. Iyalah, sayang.
“Tapi berita mengenai perkara ini sudah bertebaran meluas dan kalau saya cakap tak jadi jual, ada yang sakit hati pula. Tetapi ada juga yang cakap ini sebagai satu gimik. Terpulanglah apa yang orang mahu cakap. Saya cuma mahu mengubati ibu,”katanya.
Dalam pada itu, prihatin dengan keadaan tersebut, sahabat arwah Deddy Dores, penyanyi Conny Nurlita baru-baru ini hadir mengunjungi keluarga tersebut.
Menurut Conny, hasrat tersebut sudah lama tersimpan memandangkan dia ingin turut sama membantu mengikut apa dayanya.
“Sudah lama mahu berkunjung tetapi baru sekarang ada kesempatan. Dulu, selalu bertemu dengan mereka sewaktu saya dan arwah sama-sama membuat persembahan di pentas.
“Sebenarnya, saya juga terkejut mendengar perkhabaran Deddy yang meninggal dunia sebelum ini. Terkenang semua memori kami sewaktu sama-sama aktif dalam dunia seni dan dia juga telah meninggalkan banyak karya-karya muzik yang bagus dalam industri,”katanya.