KUALA LUMPUR : Rentetan isu penyanyi Andi Bernadee yang mendakwa telah ditipu oleh rakan baiknya sehingga kerugian RM70,000, nama penyanyi Amir Hassan, 25, pula menjadi bahan bualan ramai.
Ini berikutan ramai mengaitkan Amir atau nama sebenarnya, Amir Abu Hassan, merupakan ‘rakan baik’ yang dimaksudkan oleh Andi namun perkara itu disangkal tegas oleh penyanyi ini.
“Semalam selepas saya membuat panggilan video dengan seorang kawan, saya buka Instagram dan tiba-tiba tengok banyak mesej dan komen daripada netizen yang menyerang saya.
“Mereka tuduh saya sebagai individu yang ‘songlap’ duit RM70,000 milik Andi. Banyak cacian dan makian daripada netizen yang saya terima.
“Mungkin netizen syak saya sebab gambaran yang Andi berikan. Kebetulan memang jangka masa saya kenal Andi sudah dua hingga tiga tahun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Selain itu kata Amir, dia tidak menolak bahawa Andi merupakan orang yang telah banyak membantunya sewaktu mula-mula dirinya menjengah industri muzik.
Pun begitu, dia bukanlah individu yang dituduh oleh semua pihak dan mengaku kecewa dengan perkara tidak betul tersebut.
“Paling saya sedih apabila ada netizen yang mengaitkan nama arwah bapa saya. Dia komen kata bapa saya tak beri duit ke sampai nak curi duit orang.
“Tapi individu tersebut telah memadam komen itu. Malam tadi pun saya ada hubungi Andi untuk beritahu benda ini,” katanya yang meminta agar keluarga tidak dikaitkan dengan hal tidak masuk akal ini.
Terdahulu, Andi menerusi laman Instagram turut menegaskan Amir Hasan bukan individu yang menipu wang hasil kerjanya selama ini.
Andi turut memohon agar semua netizen berhenti membuat andaian dan menuduh rakan-rakan selebritinya.
Kelmarin, Andi telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Balai Polis (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Dakwa Andi individu tersebut menggunakan aplikasi WhatsApp miliknya untuk berkomunikasi berkaitan urusan kerja yang melibatkan transaksi bayaran.