PETALING JAYA: Pemain dram kumpulan Caliph Busker, Fendy Adlun menzahirkan penghargaan buat bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur apabila dapat menjejakkan kaki di rumah baharunya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia, Bandar Tun Razak.
Menerusi entri Instagram, Fendy memuat naik satu hantaran gambar yang menunjukkan dia berada dalam rumah baharunya itu.
“Alhamdulillah, baru sahaja pergi tengok rumah. Semuanya dalam keadaan baik.
“Terima kasih Tan Sri Annuar Musa dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” coretnya ringkas di Instagram.
Dalam pada itu, hantaran berkenaan mendapat perhatian oleh Annuar Musa sekali gus memberi reaksi terhadap perkongsian Fendy tersebut, menerusi entri Twitternya.
“Alhamdulillah, semoga yang terbaik buat saudara Fendy (Caliph Busker) dan keluarga yang telah berjaya mendapat rumah PPR,” tulisnya.
Terdahulu, Fendy akhirnya dapat menarik nafas lega apabila impian untuk memiliki sebuah rumah mampu milik menjadi kenyataan selepas mendapat surat tawaran.
Dia dan anaknya, Nur Azalea Zafirah, 6, menerima surat tawaran kediaman PPR itu daripada Annuar sendiri, di pejabatnya.