KUALA LUMPUR : Airbnb melancarkan Bollywood Insiders, sebuah festival filem secara atas talian selama 10 hari, khusus buat peminat-peminat dunia Bollywood bermula hari ini sehingga 22 Ogos depan.
Dianjurkan oleh bakat-bakat terbaik industri ini, tetamu dari seluruh dunia akan berpeluang untuk mendalami budaya India dengan menjenguk di sebalik tabir set filem selain berpeluang berinteraksi dengan personaliti-personaliti terkenal Bollywood.
Antara yang ditampilkan dalam Bollywood Insiders ialah, slot mempelajari teknik persediaan uji bakat bersama pengarah tersohor Farah Khan, sesi temu bual bersama calon Anugerah Emmy, Arjun Mathur serta temu bual bersama jurugaya selebriti Tanya Ghavri dalam ruangan fesyen.
Tetamu juga boleh mengalami sendiri latihan dan persediaan ketat yang dihadapi oleh bintang-bintang Bollywood kegemaran mereka dan semua ini tersedia untuk ditempah berdasarkan konsep tiba dahulu layan dahulu di www.airbnb.com/bollywoodinsiders.
Antara pengalaman menarik lain menerusi Bollywood Insiders termasuk, program memasak beberapa juadah makanan kegemaran bintang Bollywood bersama chef yang memenangi anugerah, Vicky Ratnani, menyanyi bersama penyanyi latar Bollywood, Shilpa Rao serta slot tips kecantikan bersama ikon kecantikan Namrata Soni berdasarkan pengalamannya dengan bintang-bintang seperti Deepika Padukone, Sonam Kapoor Ahuja, Janhvi Kapoor dan Sara Ali Khan.
Menurut Pengurus Besar Airbnb India, Asia Tenggara, Hong Kong dan Taiwan, Amanpreet Bajaj, pihaknya berbesar hati melancarkan Bollywood Insiders dan kerana ia merupakan sebuah kempen yang menggabungkan kecintaan India terhadap seni filem menerusi koleksi pengalaman Airbnb yang unik dan tulen.
“Program ini bertujuan menyediakan komuniti kami dengan peluang luar biasa untuk berinteraksi dengan personaliti popular dari Bollywood dan belajar secara langsung daripada pakar-pakar ini.
“Kami tidak sabar untuk terus mencipta pengalaman lain yang akan memupuk hubungan lanjut di kalangan tetamu,” katanya.
Selain itu, pelakon Arjun Mathur pula berkata, sebagai pelakon dia sentiasa meletakkan kepercayaan untuk menyumbang kepada kebaikan selain meletakkan harapan bahawa lebih ramai orang dapat manfaat dan inspirasi daripada perkongsian yang disemat.
“Saya menghargai setiap peluang untuk berkongsi pengetahuan saya dengan orang lain, sama ada mereka bercita-cita untuk menjadi pelakon atau sekadar peminat filem.
“Kerjasama saya dengan Airbnb memberi saya peluang untuk berkongsi segala yang saya pelajari daripada industri ini bersama penonton yang lebih meluas yang turut mengagumi dunia perfileman seperti saya.
“Saya telah menjadi hos Airbnb selama beberapa tahun, sejak saya menyenaraikan vila saya di Goa dalam platform ini. Walau bagaimanapun, ini adalah kali pertama saya akan menganjurkan pengalaman secara atas talian. Saya tidak sabar untuk berhubung dengan peminat filem dari seluruh dunia dan membimbing mereka menyelami selok-belok industri ini.” katanya.
Airbnb ditubuhkan pada tahun 2007 dan telah berkembang kepada 4 juta hos yang telah mengalu-alukan lebih 900 juta ketibaan tetamu di hampir setiap negara di seluruh dunia.