Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus menjaga hubungan strategik bersama alumni yang disifatkan sebagai duta yang membawa panji-panji universiti dalam komuniti.
Justeru, Pusat Alumni dan Kerjaya mengambil inisiatif menganjurkan Sambutan Hari Alumni USIM baru-baru ini.
Penganjuran itu merupakan manifestasi usaha memperkasakan institusi Alumni agar relevan dengan perkembangan semasa.
Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya, Asri Husain berkata, Pelan Perancangan Strategik Komprehensif Pengurusan Alumni telah disediakan bagi memastikan agenda pemerkasaan itu dapat dijalankan dengan lebih sistematik.
Pelan itu berperanan membantu menyediakan dokumen hala tuju bagi menjaga kebajikan alumni secara lebih menyeluruh selain menyusun dan memperkemaskan peranan persatuan serta kelab berkaitan agar dapat berfungsi secara optimum.
“Dalam masa sama, insentif Kad Alumni USIM juga sedang ditambahbaik untuk memberi lebih banyak faedah kepada alumni terutamanya untuk mereka yang ingin melanjutkan pengajian,” katanya.
Sambutan Hari Alumni USIM Kali Pertama 2021 menyediakan pelbagai acara menarik seperti Majlis Penyampaian Anugerah Ikon Alumni, Pertandingan Nostalgia Alumni, Meet and Greet, Inspirational Talk, Program Graduan Profesional dan sebagainya.
Sepanjang 21 tahun penubuhan USIM, alumninya berjaya mencatat pelbagai kejayaan sama ada dalam bidang perniagaan atau pendidikan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Pihak pengurusan turut melancarkan MISI USIM 2022 iaitu misi jangka masa sederhana sebagai salah satu strategi transformasi menjadi sebuah Universiti Sains Islam Glokal Berimpak Tinggi berteraskan integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (iNaQ) menjelang tahun 2022.
Ia juga sebagai panduan dalam merealisasikan misi utama USIM bagi menghasilkan ilmuwan, pemimpin dan profesional yang kompeten berasaskan tradisi keilmuan Islam, nilai-nilai luhur agama serta budaya demi kesejahteraan sejagat.