KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Isyariana, 30, mengakui dirinya seorang yang cerewet dan teliti dalam penghasilan lagu untuk perkembangan karier muziknya.
Menurut Artis Baharu Popular (ABP2020) itu berkata, single baharu berjudul Bisik Hati merupakan lagu solo pertama selepas dia menyertai program Akademi Fantasia (AF) 2016.
Justeru itu, Isyariana atau lebih mesra disapa Isya, mahu menghasilkan lagu yang kena dengan citarasanya sekali gus sebagai hadiah untuk peminat yang sentiasa menyokong perkembangan karier seninya.
“Syukur Alhamdulillah sudah tentunya saya rasa gembira dapat keluarkan single sendiri, ibarat terkabul satu hajat.
“Selepas AF 2016 rezeki lebih berpihak di bidang lakonan. Jadi proses untuk ada lagu sendiri itu mengambil masa. Malah saya ini seorang yang amat teliti dan cerewet dalam pemilihan lagu.
“Mestilah saya perlu mengikut jiwa dan genre yang bersesuaian. Dalam tempoh itu, ada beberapa demo yang saya terima, tetapi Bisik Hati membekas di jiwa dari segi lirik dan melodinya,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bisik Hati berkisarkan tentang cinta kepada Maha Agung itu telah mendapat sentuhan oleh Ikhwan Fatanna bersama Wan Salleh dan liriknya juga hasil Ikhwan. Lagu berentak balada itu diterbitkan oleh syarikat pengurusan Isya sendiri, YSI Entertainment dan boleh didengari menerusi semua penstriman digital muzik.
Dalam perkembangan lain, sementara berehat daripada penggambaran drama Hati Yang Dikhianati akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terkini. Isya sedang sibuk menjalani latihan teater menerusi aplikasi Zoom bersama Ibu Fauziah Nawi.