Tunjuk bijak atau tidak sensitif? - Utusan Malaysia

Tunjuk bijak atau tidak sensitif?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sama ada sengaja atau tidak, dewasa ini industri seni dijadikan seperti papan sasaran kecaman dan kritikan netizen. Tidak dapat dinafikan, salah satu puncanya adalah kenyataan yang kurang cerdik daripada segelintir pemain industri. Sudahlah berbunyi merepek, faktanya juga entah ke mana.

Akhirnya, pemain industri lain yang menjadi mangsa. Dicop kayangan, tidak berakal dan pelbagai lagi cemuhan. Adakah kontroversi dicipta demi meraih populariti dan kemaruk nama diulang julang? Atau sememangnya akal belum cukup masak untuk berbicara. Ya, kita bebas menyuarakan pandangan peribadi tetapi awas, usah menjatuhkan nama sendiri.

Team Pancaindera minggu ini mengupas isu kenyataan dangkal segelintir selebriti ‘palatao’ (tahu serba serbi) yang sedikit sebanyak memalukan industri seni tempatan. Tanpa memetik nama mana-mana pihak, ini pancangan empat pemain industri.

Itu cerminan diri anda – Vanida Imran

Bagi pelakon yang kini bergelar pensyarah Sarjana Kreatif Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Vanida Imran percaya setiap tindak tanduk individu memberi gambaran tentang siapakah diri mereka yang sebenar.

Bagaimanapun, kata Vanida, secara umumnya, perkara ini tidak cuma meliputi golongan artis dan selebriti kerana setiap daripada kita perlu bertanggungjawab dengan kelakuan diri sendiri.

“Sesiapa sahaja perlu lebih peka atau sensitif dengan masyarakat dan orang sekeliling apa lagi dalam keadaan sekarang ini. Bagi saya, susah nak komen dan lebih baik tidak komen tentang hal ini kerana itu adalah perbuatan mereka sendiri.

“Menerusi perbuatan tertentu, ia sedikit sebanyak memberi gambaran mengenai siapa diri mereka. Mengambil contoh situasi, sebagaimana baru-baru ini terdapat desas-desus yang menunjukkan segelintir pihak adalah anti-vaksin.

“Satu persoalan yang ingin saya tinggalkan adalah, bagaimana pula nanti dan apakah yang akan golongan ini lakukan sekiranya industri seni kembali dibuka, tetapi syarat utamanya adalah artis dan selebriti itu kena pastikan sudah divak­sin?”katanya.

Selesa untuk meninggalkan pertanyaan itu, kata Vanida, perkara itu bukan sesuatu yang mustahil kerana sebagaimana yang diketahui, pelbagai pihak dalam industri sedang berusaha untuk memujuk kerajaan agar membuka kembali sektor seni dan perfileman.

“Situasi dalam industri sedang tenat dengan ada kru dan pekerja belakang tabir terkesan teruk. Sangat kasihan dan saya rasa, mana mungkin ramai dapat bertahan sampai Ogos.

“Jika sektor ini dibuka semula, tak mustahil syarat vaksinasi itu menjadi keutamaan dalam usaha membendung jangkitan Covid. Jadi, renung-renungkanlah. Tindakan anda menunjukkan siapa anda sebenarnya,”katanya.

Jangan acah ‘palatao’ – Naim Daniel

Pelakon dan penyanyi terkenal, Naim Daniel, menegaskan kepada orang ramai terutama golongan selebriti agar sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dalam media sosial agar tidak menjerat diri sendiri.

Penyanyi lagu Sumpah itu berkata, golongan pempengaruh terutama yang memegang gelaran artis haruslah menyampaikan mesej dan ideologi yang benar sahaja kepada pengikutnya agar dapat mengelakkan diri daripada dikecam warganet.

“Jika tiada apa-apa yang baik untuk dikata­kan, diam sahaja. Tidak mahulah kata-kata yang dikeluarkan menjadi racun kepada diri kita semula. Covid-19 ini pun membunuh, takkan nak bunuh orang dengan ‘palatao’ kita pula kan.

“Memang kita sekarang tahu dunia kini sedang berhadapan dengan banyak perkara negatif, jadi buat apa kita nak tambah lagi?

“Kalau boleh kita sampaikan sesuatu yang fakta, hujah yang baik serta sampaikan perkara yang penuh hikmah kepada semua orang,” katanya.

Naim turut menegaskan supaya setiap selebriti mengambil tanggungjawab sebagai pempengaruh untuk menunjukkan sikap yang baik serta memainkan peranan penting terhadap masyarakat.

“Bila kita dipertanggungjawabkan sebagai pempengaruh kepada bilangan pengikut yang ramai, perlulah menunjukkan sikap yang baik.

“Selain itu, bila kita sedar adanya pengikut dalam media sosial sebagai tanggungjawab, akan sedar betapa pentingnya peranan kita terhadap masyarakat.

“Biar hilang apa sahaja dalam hidup tetapi jangan hilang kemanusiaan, sebab dari situlah beza antara kita dengan binatang. Apa sahaja anda buat, pastikan sedar dunia ini bukan berkisahkan tentang kita sahaja,” katanya kepada Pancaindera.

Netizen dah bijak – Dr. Soo Wincci

Perihal artis tempatan ‘bersorak’ tanpa asas terhadap sesuatu perkara dalam media sosial, cukup menarik perhatian umum. Tapi kelantangan itu pada akhirnya akan memakan diri sendiri jika tidak berubah.

Dr. Soo Wincci berkata, seseorang tidak kira selebriti atau tidak boleh bersuara berhubung satu-satu isu tetapi biarlah berlandas fakta dan bukti supaya tidak membawa kepada penyebaran maklumat yang salah.

“Tidak dinafikan kelantangan bersuara itu membawa perubahan. Tapi hati-hati tanpa fakta dan bukti sahih, mengundang padah.

“Meraih perhatian umum dengan cara menghasilkan kandungan mengundang kontroversi itu sangat mudah. Namun kalau salah kaedahnya, imej sendiri akan rosak sebab netizen pun sudah bijak menilai.

“Apa pun sentiasa buat kajian terlebih dahulu dan dapatkan pandangan atau nasihat pakar, hormatilah mereka dan bukan sewenang-wenang rujuk bahan dalam media sosial,” tegasnya.

Bintang seni yang sedang melanjutkan pengajian kedoktoran falsafah kedua di Sepanyol itu, menyarankan, penggiat seni perlu mempelbagaikan cara untuk mencari sumber pendapatan.

“Zaman sudah berubah, begitu juga anak seni kena pandai mencari jalan sendiri. Saya sakit di luar negara ini pun tetap meneruskan pengajian dan mencari peluang sara diri. Apatah pula di tanah air sendiri.

“Jadi saya berharap agar kita semua dapat bersabar dengan apa pun dugaan dan ujian sementelah menambah ilmu baharu. Jangan bergantung nasib semata-mata, populariti juga tidak berkekalan.

“Sebagai anak seni kita mestilah majukan diri dan perbanyakan ilmiah, bukan pengikut. Fokus balik untuk terus kuat dan saling menghormati antara satu sama lain,” akuinya sedih dengan sikap segelintir selebriti yang mengundang kontroversi dengan kenyataan tidak berasas.

“Buatlah kajian, perbandingan dan rujukan dalil sebelum menulis” – Amin Idris

Pengacara dan penceramah motivasi, Amin Idris, 40, mencadangkan kepada rakan selebriti agar berhati-hati dan tidak beremosi sebelum melontarkan sebarang pandangan dalam media sosial.

Katanya, tindakan tersebut penting untuk mengelak daripada tersilap kata yang mungkin memakan diri dan menyinggung perasaan pihak lain.

“Ada segelintirnya berlumba-lumba, mahu jadi yang pertama dalam memberikan komen sehingga mengabaikan fakta dan kebenaran.

“Ini mengakibatkan mereka dikecam secara berjemaah sekiranya pandangan yang mereka berikan kurang tepat atau tidak disenangi.

“Oleh itu buatlah kajian, perbandingan dan rujukan dalil serta fakta sebelum menulis di media sosial,” katanya.

Kata Amin lagi, lebih dikhuatiri apabila wujud segelintir selebriti yang berani menyebarkan fitnah sehingga mempengaruhi pengikut dan penyokong mereka.

“Selebriti ada pengaruh yang cukup besar. Ada segelintir yang menyebarkan perkara tidak benar tapi bila disoal tentang fakta, kosong.

“Dalam hadis ada menyebut ‘Fitnah itu bersifat tidur, Allah melaknat sesiapa yang mengejutkannya’.

“Mudaratnya cukup besar, kepada pembawa (fitnah) dan mangsa fitnah itu sendiri.

“Kalau dosa dengan Allah SWT, kita boleh minta ampun dengan Dia. Kalau fitnah sesama manusia, dosa tidak diampunkan selagi permohonan maaf tidak dibuat,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya