Terima kasih Tuhan - Afgan - Utusan Malaysia

Terima kasih Tuhan – Afgan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA ini Afgan sedang berkuarantin selepas disahkan positif Covid-19 hujung minggu lalu. Dia baik-baik sahaja. Sempat juga memuat naik video sedang bersenam di Instagram tanda dia tidak mengalami sebarang simptom teruk.

Perbualan kami menerusi WhatsApp berjalan santai sekali. Dia juga tenang menjawab apa juga soalan. Begitulah seorang Afgan, penyanyi kelahiran Indonesia yang cukup dekat di hati peminat muzik tempatan.

Tahun ini, jika bukan kerana pandemik, pasti dia sudah mengadakan konsert. Belum pernah tiket tidak terjual, selalunya seperti pisang goreng panas. Aura dan semestinya, lunak suara adalah magisnya.

Agaknya bagaimana dia menjalani kehidupan di Indonesia yang ketika ini ibarat ‘lumpuh’ dek pandemik? Apatah lagi dia sedang berkuarantin. Pastinya kesihatan fizikal dan mental menjadi taruhan serta keutamaan.

“Saya fikir, seperti semuanya, kita sedang mencuba mencari nafas untuk terus berjuang. Saya sendiri cuba untuk sentiasa melakukan aktiviti baharu. Jika ditanya tentang emosi, pastinya terjejas tetapi saya kena kuat.

“Impak pandemik ini bukan main-main. Saya tidak biasa terkurung. Jika dulu setiap minggu saya akan berkelana, tetapi sekarang tidak. Banyak juga perancangan muzik tergendala, tetapi kita tetap harus berjuang bukan?” katanya.

Mendedahkan tahun lepas adalah antara momen paling gelap dalam hidupnya, Afgan terpaksa memendam sendiri. Namun dia tidak mahu terpuruk dalam emosi negatif terlalu lama. Dia terus bangkit dan memanfaat segala usaha dan daya yang ada.

Malah dia percaya, setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Pasti ada kemanisan yang bakal hadir. Apatah lagi 13 tahun melayari bahtera seni yang punya ombak dan badai, kematangan diri mengawal emosi adalah kebanggaannya.

“Saya tidak boleh keluar, bertemu kawan-kawan dan melancarkan beberapa projek seni tahun lepas. Jadi ketika itu, kesihatan mental saya sangat teruk. Tetapi sampai satu ketika, saya buka mata dan kembali suntik semangat,” katanya.

Menyentuh usia 13 tahun dalam industri seni, penyanyi Terima Kasih Cinta ini membisu sebentar. Dia cuba mengorek sejarah. Membuka helaian demi helaian kisah yang terpendam selama ini.

Ya, dia juga manusia biasa. Rebah apabila diasak, bangkit saat diperlukan. Ada ketika, dia lemah dan mahu meletakkan noktah dalam apa jua yang sedang dilakukan. Kembali ke titik asal, menjadi Afgan yang dahulu.

“Saya bermula di usia yang cukup muda. Saya cuba mencari diri sendiri di sebalik tirai populariti dan kemasyhuran. Saya mula diserang kemurungan dan kebimbangan. Bekerja siang malam tanpa sedar itu memakan diri.

“Saya tidak ada kehidupan sendiri, semuanya ibarat dipertonton kepada umum. Tetapi saya sedar, peminat sentiasa menyokong. Penat saya, penat juga mereka. Setia mereka membuatkan saya bangkit.

“Tapi paling penting, sentiasa ingat Tuhan. Hidup saya sentiasa diberkati dan itu membuatkan saya sangat bersyukur. Selalu ingat Dia dan jangan pernah hilangkan Dia dari dalam hati,” katanya sebak.

Tiba masa, saya kahwin jua

Seronok berbual, saya cuba menyelit soalan tentang kehidupan peribadi. Apatah lagi, saat ini, nama Afgan dan Rossa sering terkait. Ada sahaja spekulasi seolah cuba mengungkah cerita ‘cinta’ mereka.

Soalan saya mudah, adakah Afgan selesa sendiri atau sedang asyik mengira bintang di langit cinta bersama yang tersayang?

Tergelak dia namun itu bukan satu jawapan. Menanti juga kata putus daripada penyanyi berusia 32 tahun ini. Namun mengenali Afgan, dia bukan seorang yang mudah mencanang kisah peribadi. Bijak menyimpan rahsia.

“Saya sebenarnya cuba untuk tidak bercakap soal peribadi. Bila saya sudah bersedia, pasti anda semua akan tahu. Buat masa ini, saya selesa menyimpan cerita dan rahsia. Keep it private.

“Kalau tanya soal bahagia, ya saya bahagia. Saya rasa diri cukup matang dan dewasa untuk mengendali sesebuah hubungan. Malah, untuk diri sendiri juga. Paling penting, saya gembira dan bahagia,” jelasnya.

Nampak bukan, sukar sekali dia membuka mulut bila ditanya soal cinta. Rossa? Acap kali dia memberitahu, mereka hanya berteman baik. Apatah lagi jika ditanya soal nikah, bukan masanya lagi.

Mengakui diri seorang yang sukar berpuas hati dengan pencapaian hidup, kerjaya seni adalah keutamaannya kini. Masih terlalu banyak yang mahu dikecapi. Malah impiannya dalam melebar sayap ke pasaran muzik antarabangsa juga semakin menyinar.

“Saya cuba untuk tidak berpuas hati dengan karier dan cuba kembangkan lagi bakat. Terlalu banyak yang harus saya cintai. Saya bangga dengan kejayaan yang dicipta, semestinya itu bukan satu kerja mudah.

“Tetapi dalam masa sama, saya belum cukup meneroka dunia seni. Soal kahwin, bila tiba masa saya akan settle down. Sedang dalam perjalanan ke arah itu tetapi jalannya panjang sekali, banyak perhentian,” selorohnya.

Kolaborasi rentas negara

Terdengar nada teruja apabila diajak berbual soal perancangan kerjaya. Apatah lagi, namanya kian mengharum di persada muzik antarabangsa setelah kolaborasi dengan penyanyi K-Pop popular, Jackson Wang mendunia.

Melancarkan lagu, M.I.A duet bersama bintang popular Korea itu Mac lalu, pastinya Afgan punya rencana lebih hebat selepas ini. Malah album antarabangsa pertamanya, Wallflower juga mendapat respons positif daripada pengkritik dan peminat muzik.

“Teruja sebenarnya untuk umumkan perancangan ini tetapi masih lagi satu rahsia. Saya bagi bayangan dahulu ya!

“Saya bakal berkolaborasi dengan seorang bintang Amerika Syarikat dan akan melancarkan lagu duet R&B tidak lama lagi. Dia merupakan salah seorang idola muzik. Siapa? Tunggu, tak lama sahaja lagi,” katanya bersemangat.

Semestinya perbualan kami akan terarah kepada rasa rindunya terhadap Malaysia yang dianggap seperti rumah keduanya. Masakan tidak, kalau bukan kerana konsert pun, dia pasti akan tiba untuk bercuti bersama teman.

Dua tahun bergelar pelajar di salah sebuah universiti tempatan, Afgan membina rangkaian persahabatannya. Tidak hairan jika dia amat merindukan teman-teman baiknya yang kini sedang ‘terkurung’ sama.

“Setiap kali mengadakan konsert di Malaysia, pasti peminat akan menyokong. Lagipun, Malaysia sudah seperti rumah kedua saya. Dua tahun saya belajar di sana. Pastinya rindu itu tidak tertanggung.

“Usai sahaja pandemik ini, Malaysia akan menjadi antara destinasi terawal yang bakal saya kunjungi. Tunggu sahaja ya semua, saya pasti akan datang!” kata pelakon Refrain dan Cinta Dua Hati ini.

AfganFund, Menghulur kasih

Menarik topik perbualan ke konteks lebih serius, di kala negara jiran, Indonesia antara yang terjejas teruk, pastinya Afgan juga sama seperti kebanyakan artis Malaysia yang ringan menghulurkan bantuan.

Melancarkan AfganFund dengan kerjasama KitaBisa, dana yang disumbangkan oleh mereka yang prihatin disalurkan buat penduduk yang terjejas terutama kanak-kanak yang kini hilang arah untuk menimba ilmu.

“Bagi saya, ini adalah salah satu cara untuk kita kembalikan kasih dan setia mereka selama ini. Bantuan yang disalurkan adalah hasil sumbangan dan dana yang dikumpul. Kita sama-sama membantu.

“AfganFund juga memberi fokus kepada pembangunan pendidikan kanak-kanak yang terjejas dan ada juga terhenti dek pelbagai kekangan akibat pandemik.

“Kita mahu wujudkan kesedaran kepentingan pendidikan,” katanya menutup gelanggang perbualan kami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya