KUALA LUMPUR: Pelakon Hollywood kelahiran Malaysia, Henry Golding, menggesa orang ramai untuk bertanya khabar dengan rakan-rakan dan keluarga yang tersayang ketika pandemik ini.
Menurut anak kelahiran Sarawak itu berkata, ramai ekonomi yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 lalu menyebabkan gangguan kesihatan mental berlaku.
“Saya tahu rakyat Malaysia ketika pandemik ini sedang melalui fasa kritikal dalam meneruskan hidup ditambah pula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang banyak. Seperkara yang kita ambil ringan ialah tahap kesihatan mental melibatkan emosi yang rapuh. Itulah perkara yang sering kita terlepas pandang.
“Saban hari mungkin pemikiran kita ada kecenderungan untuk bunuh diri disebabkan kehilangan pekerjaan dan lebih-lebih lagi dah lama tak bersosial. Sebenarnya ada sahaja kawan kita yang ambil berat dan sayangkan kita.
“Jadi saya cabar anda semua hubungi tiga rakan-rakan dan tengok keadaan mereka ketika ini bagaimana? Tak kisahlah apa cara sekali pun tapi buat.
“Jangan bual kosong, tanyakan betul-betul keadaan mereka dan dapatkan bantuan pertubuhan yang ada di Malaysia untuk tangani permasalahan. Percayalah ia akan membawa perubahan besar,” tegasnya.
Dalam perkongsian video berdurasi empat minit itu, pelakon Crazy Rich Asians itu turut berkongsi talian hayat untuk bantuan lanjut @befrienderskl atau hubungi 0376272929 dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia 0377825499