KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Syafiq Kyle, tidak hairan jika dirinya sendiri mungkin mengalami masalah gangguan depresi berikutan situasi penularan wabak Covid-19.
Menurut pelakon drama rantaian Nur, menjelaskan, dia bagaimanapun bersyukur kerana dikelilingi individu yang selalu ambil peduli.
Katanya lagi, bagi orang ramai yang mengalami gangguan masalah kesihatan seumpama itu perlu segera mendapatkan bantuan.
“Sekarang ini berita bunuh diri dan tertekan banyak kita baca dan dengar. Kita tidak tahu sama ada diri sendiri mungkin akan mengalaminya. Saya tak terkejut kalau sendiri pun ada depresi.
“Tetapi Alhamdulillah, saya bersyukur sangat kerana ada rakan-rakan dan keluarga yang ambil peduli. Bagi mereka yang ada permasalahan tolong tanganinya.
“Bahkan kepada orang ramai berilah bantuan dan bukannya cakap kuatkan iman. Ini bukan soal iman, ini penyakit,” ujarnya.
Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak atau lebih dikenali Syafiq Kyle, 29, berkata demikian dalam sidang akhbar secara maya untuk drama Suara Hati, semalam.
Susulan itu, dia terpanggil untuk lebih aktif di media sosial dalam memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai permasalahan gangguan itu.
“Apabila mental kita lemah, bila-bila masa saja akan terasa susah dan kemungkinan hilang pertimbangan lain. Hal itu akan merosakkan mental kita.
“Jagalah kesihatan diri, Insya-Allah segalanya akan dipermudahkan,” tuturnya.
Dalam perkembangan lain Syafiq akan muncul dengan drama terbaharu bermula 19 Julai, berjudul Suara Hati yang akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 6 petang di slot Tiara, Astro Prima