Sakit betul hati Poklip bila baca perkongsian pelakon, Siti Elizad kecewa apabila seorang individu mendakwa dirinya mandul dan tidak solat. Jahatnya mulut!
Poklip tak faham dengan segelintir warganet yang dengan mudahnya meletak hukum malah memfitnah orang lain. Seronok sangat ke menaip kata-kata fitnah di ruangan komen?
Apa kepuasan yang awak dapat? Tiba-tiba turun hujan emas di depan rumah? Tak ada kan. Yang ada hujan serangan warganet lain yang tidak berpuas hati dengan komen tidak masuk akal awak itu.
Tetapi Poklip perhatikan, bukan setakat Siti Elizad sahaja jadi mangsa. Sebenarnya, ramai warganet yang sesuka hati menulis komen tanpa berfikir tentang perasaan dan hati orang lain.
Itu belum lagi ruangan komen berita hiburan. Tak naikkan ekonomilah, membuang masa bacalah dan lagi parah, cakap wartawan yang menulis artikel itu bodoh. Sakitnya hati Poklip membaca komen begitu.
Macam inilah, kalau tidak suka berita hiburan, silalah layari segmen lain seperti jenayah, sukan dan gaya hidup dalam laman sesawang Utusan Malaysia itu. Bacalah berita yang awak suka. Poklip tak paksa pun.
Jangan menyalahkan orang lain kalau sebenarnya dalam diam, awak pun suka baca artikel sensasi. Lepas baca, komen pula konon berita itu tidak memangkin pemikiran. Propa sangat tau!