KUALA LUMPUR: Pasangan pelakon terkenal Hollywood, Mila Kunis dan Ashton Kutcher mendedahkan masing-masing tidak menekankan mandi sebagai amalan kebersihan utama mereka.
Malah, bukan sahaja mereka, Mila dan Ashton juga bersepakat mendidik dua anak mereka iaitu Wyatt, 6, dan Dimitri, 4 dengan cara yang sama.
Menurut Mila, walau begitu, mereka sekeluarga akan memastikan bahagian sulit dan wajah dicuci pada setiap hari.
“Semasa zaman saya membesar, dulu, keluarga saya tidak mempunyai sumber air panas di rumah. Jadi sebab itulah saya tidak biasa mandi setiap hari,”katanya.
Perkara itu dikongsi oleh Mila dan Ashton semasa ditemu bual dalam sebuah program podcast bersama Dax Shepard yang mana juga telah mengejutkan lelaki berkenaan.
Sementara itu, menurut Ashton pula, memandangkan anak-anak mereka sedang membesar, dia dan Mila meletakkan sistem mengenai kebersihan kekotoran di rumah.
“Semasa mereka kecil pun kami tak tekankan aspek mandi. Jadi apabila mereka sudah besar, apa yang kami lakukan ialah mengajar dan memastikan mereka jika ada kesan kotoran di badan, cuma cuci bahagian itu sahaja.
“Jika tidak, tiada tujuan untuk mandi pun. Macam saya, biasa akan mencuci cuma di bahagian tertentu pada badan saya dan muka terutama selepas melakukan aktiviti senaman,”katanya.
Dalam pada itu, pendedahan pasangan terkenal ini telah menimbulkan pelbagai respons daripada pengikut dan peminat apalagi dalam situasi pandemik Covid-19,mandi adalah satu daripada amalan kebersihan utama dalam memerangi wabak ini.