Usaha murni 38 orang pelajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) perlu diberi pujian dalam membantu meningkatkan taraf pendidikan buat anak-anak kurang bernasib baik di Semporna, Sabah.
Meskipun turut terkesan dengan pandemik Covid-19, namun para pelajar ini tetap optimis menjalankan kutipan secara dalam talian.
Kutipan dana berlangsung selama sebulan itu bagi membantu menyediakan alat tulis serta penambahbaikan surau di sekolah Al Huda Islamic Learning Centre.
Pengarah Program, Muhammad Amirul Haziq berkata, inisiatif dijalankan di bawah program itu dilakukan atas keprihatinan terhadap pendidikan murid di sekolah berkenaan.
“Kami melihat sekolah ini perlu dibantu kerana masih banyak lagi kekurangan dari aspek kemudahan pembelajaran yang disediakan seperti alat tulis, alat bantuan mengajar dan sebagainya.
“Sekolah ini menawarkan peluang pendidikan percuma kepada anak-anak setempat yang tidak mendapat peluang pendidikan di sekolah kerajaan atas faktor masalah kewangan dan jarak rumah ke sekolah yang jauh,” katanya.
Selain dana, para pelajar juga turut menyediakan video pembelajaran beberapa subjek membantu murid sekolah tersebut memahami dengan lebih mendalam.
Sementara itu, Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail turut menyokong penglibatan pelajar dalam program sedemikian bagi menyemai sifat keprihatinan dalam diri pelajar.
“Program sebegini berupaya menanam nilai keprihatinan dalam diri pelajar. Kami ingin melihat mahasiswa menjadi ahli masyarakat yang bukan sahaja cemerlang daripada segi akademik tetapi kepemimpinan dan sahsiah.
“Saya turut mengharapkan lebih ramai penuntut mengambil bahagian dalam program kesukarelawan seperti ini sesuai dengan moto UPM, iaitu berilmu dan berbakti,” ujarnya.
Hingga kini lebih RM6,000 dana dikumpulkan ia masih terbuka kepada orang ramai untuk menyumbang dalam usaha membantu insan memerlukan di Semporna.