PETALING JAYA: Penyanyi popular kumpulan 90-an Spice Girls, Emma Bunton, akhirnya mengumumkan secara rasmi telah bergelar isteri kepada penyanyi kumpulan Damage, Jade Jones.
Emma berkongsi khabar gembira itu, setelah memuat naik satu gambar majlis perkahwinannya, Selasa lepas.
Memetik laporan CNN Entertainment, pasangan itu mula bercinta pada akhir tahun 90-an dan bertunang pada tahun 2011.
Kini, pasangan tersebut telah dikurniakan dua zuriat yang bernama Beau Lee Jones,14, dan Tate Lee Jones, 10.
Di samping itu, gambar perkahwinan tersebut disulamkan dengan coretan pendeknya ‘Mr and Mrs Jones’, menerusi perkongsian di entri Instagram.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata warganet dan rakan artis turut mengucapkan tahniah ke atas pasangan dua sejoli itu.