PETALING JAYA: Pelakon dan penyampai radio terkenal, Issey, telah mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak perkhidmatannya bersama stesen radio Suria FM.
Dalam satu kenyataan, kontrak perkhidmatannya bertarikh luput 31 Julai 2021 ini dan tarikh akhir ke udara adalah pada hari ini.
Bagaimanapun, pihak Suria FM menghormati keputusan penyampai segmen Team Pagi Suria itu yang telah mempunyai perancangan kerjayanya tersendiri di dalam dunia hiburan.
Menerusi perkongsian di Instagram, Issey meluahkan rasa sedih setelah membuat keputusan untuk meninggalkan stesen radio itu selepas tamat kontrak.
“Selamat tinggal Suria FM. Hari ini hari terakhir saya di Suria. Issey sendiri yang memilih untuk tidak disambungkan kontrak. Saya sayang Suria.
“Tapi saya buat keputusan ini sebab ada perancangan sendiri selepas ini. InshaAllah nanti saya akan umumkan pada masa yang sesuai.
“Selain itu, kenangan tiga tahun di Suria akan jadi satu memori yang cukup indah serta bermakna untuk saya dan adik beradik di Suria. Jaga diri, sayang kamu semua!” coretnya menerusi Instagram.
Dalam pada itu, pihak Suria FM juga memaklumkan masih tiada perancangan mengenai siapa yang bakal menjadi pengganti Issey buat masa ini serta segmen berkenaan kekal ke udara bersama penyampai radio Ajak dan Fizi Ali.
Seterusnya, stesen radio popular itu turut mengucapkan ribuan terima kasih di atas perkhidmatannya selama tiga tahun sebagai penyampai radio di Suria FM.