PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Datin Rebecca Nur Al Islam, meluahkan rasa syukur kepada Allah apabila suami tercintanya, Datuk Nor Azam Sulaiman telah bebas Covid-19 dan sudah pulang ke rumah.
Menerusi entri Instagram, Rebecca memaklumkan semua ahli keluarganya kini telah bebas daripada virus berkenaan serta memberitahu suaminya juga beransur sihat dan perlu banyak berehat.
“Saya ingin mengucapkan syukur kepada Allah dengan limpah rahmat dan kasih sayangNya, suamiku syurgaku sudah pulang ke pangkuan keluarga. Syukur teramat sangat.
“Alhamdulillah, sayang saya, encik suami sudah beransur sihat. Cuma cepat penat, tidak boleh banyak bercakap serta tidak diizinkan untuk membuat apa-apa dahulu. Doktor kata dia harus berehat tenang,” coretnya di Instagram.
Dalam pada itu, dia turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang tidak pernah lekang berdoa buat keluarganya.
Tidak melupakan barisan hadapan yang bertugkus lumus merawat dia sekeluarga, Rebecca juga merakamkan ucapan terima kasih buat mereka yang sentiasa komited dalam menjalankan tugas.
“Terima kasih buat semua keluarga, teman, kenalan serta semua pengikut saya yang tidak putus-putus berdoa untuk suami serta kami sekeluarga.
“Tidak lupa juga, terima kasih barisan hadapan dan semua doktor yang terlibat dalam memastikan suami dan kami sekeluarga sihat.