PADA waktu ini, sedih dan duka tentunya masih membaluti hati Nur Fatima sementelah baru sahaja kehilangan abang kandungnya yang meninggal dunia pada 18 Julai lalu.
Jujurnya, penulis juga berasa ralat kerana ketika temu bual secara virtual bersama Nur Fatima minggu lalu, kami ada berbual mengenai kondisi abangnya yang ketika itu masih terlantar di katil Hospital Selayang.
Siapa sangka, selang seminggu, khabar duka ini menerpa dirinya yang menuntut keredaan atas pemergian arwah meski hati menyimpan sejuta rasa, alangkah baiknya jika diri dapat pulang segera ke tanah air untuk bersama keluarga.
“Sebagai ahli keluarga, sukar untuk saya buang rasa ralat tak dapat pulang itu. Sebelum ini pun sering sahaja saya katakan pada mereka bahawa diri ini sangat rindu untuk menjenguk semua apatah lagi arwah yang sebelum itu sedang kritikal di hospital.
“Menderita penyakit Pankreatitis akut sekian lama, arwah tidak mampu bercakap dan cuma terlantar di katil dan bergantung kepada mesin bantuan pernafasan. Kami semua sedar, dalam keadaan sebegitu, bila-bila sahaja jantungnya boleh terhenti.
“Seluruh ahli keluarga termasuk saya sebenarnya sudah lama berendam air mata dengan situasi arwah. Cuma doa yang tidak putus-putus dan harapanlah yang dapat kami panjatkan pada-Nya buat abang,”katanya.
Biarpun begitu, dia yang mesra disapa Nur akur dengan ketentuan Ilahi dengan jauh di sudut hati merasakan Allah SWT tentunya lebih tahu apa yang terbaik.
Pun begitu, Nur mengharapkan supaya tidak ada pihak termasuk keluarga yang salah faham dengan tindakannya yang tidak dapat pulang meski di hatinya terdetik, andai bisa dirinya terbang, sudah pastilah bersama keluarga yang ingin dituju.
“Banyak faktor yang membataskan terutama dalam keadaan pandemik yang masih berlarutan. Khabarnya di Malaysia juga jumlah kes masih tinggi dan ia tentunya bukan langkah yang selamat jika saya terburu-buru pulang.
“Selain itu, saya juga belum menerima suntikan vaksin memandangkan di Australia, proses tersebut sedikit lambat berbanding di Malaysia. Beruntung lagi orang kita sebab saya pun masih menunggu,”katanya.
Usikan sinikal
Menetap di Australia sejak mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Mohd. Jeffry Wain Wright 13 tahun lalu, Nur barangkali secara sinikalnya dianggap bertuah kerana tidak perlu berdepan dengan begitu begininya situasi yang terjadi di Malaysia kini.
Baik menyentuh mengenai pengurusan pandemik, politik serta selingan-selingan isu semasa yang berlaku, Nur barangkali menjalani hidup yang tenang-tenang sahaja di sana bersama suami dan keluarga mentua.
Perkara itu disangkal oleh Nur kerana baginya, walaupun kehidupannya di Australia harmoni dan aman namun jiwanya yang berkecamuk memikirkan keadaan keluarga.
“Alhamdulillah, setakat ini Australia berupaya menguruskan situasi pandemik dengan baik. Saya bersyukur dari aspek itu. Cuma, hati ini tentulah sentiasa terkenangkan keadaan keluarga dan semua orang di Malaysia.
“Saya tidak berada di sini semata-mata untuk bergembira. Di sini saya bekerja dan rasanya ramai tahu sebelum pandemik berlaku, kerap kali saya berulang-alik pulang ke tanah air untuk menjenguk keluarga dan urusan kerjaya seni.
“Sekarang tak dapat buat macam itu, jadi tak mungkinlah saya tak bersedih. Sesiapa yang berada di tempat saya mesti faham perasaan ini. Iyalah, kalau nak kata ini satu pengorbanan, mungkin inilah pengorbanan yang terpaksa saya tanggung dan lakukan. Hanya Allah SWT yang tahu,”katanya.
Mengaku sentiasa memerhati dunia seni dari jauh, Nur juga sedar mengenai situasi yang berlaku terhadap anak-anak seni dan pekerja belakang tabir yang semakin tertekan dengan industri yang semakin tenat.
Sukar membayangkan kesedihan dan tekanan yang dihadapi semua pihak, kata penyanyi berusia 38 tahun ini, dia bagaimanapun pernah melalui detik perit dalam hidupnya suatu ketika dahulu.
“Bila dengar ramai rakan artis dan pekerja belakang tabir hilang pendapatan kerana pandemik, saya faham sangat perasaan itu. Pernah merasa tiada kerja, tak ada duit, semua itu mengajar diri ini supaya menguruskan kewangan dengan baik.
“Sebab itulah saya tak malu mengaku tak pakai barangan atau beg tangan berjenama mewah walaupun pernah merasa bergaji RM30,000 sebulan. Memang kena berkorban sikit. Kalau tak pakai beg mahal sekali pun, boleh saja pakai jenama yang biasa-biasa, yang mampu milik.
“Saya lebih senang untuk simpan duit masa itu kerana sasaran waktu itu adalah nak sambung belajar dan berhijrah,”katanya.
Pun begitu, kata Nur, bohonglah jika dia tidak teringin langsung untuk memakai barangan berjenama mewah sedangkan artis atau selebriti lain mampu sahaja menggayakannya.
Tetapi semua itu kata Nur,berbalik kepada istilah pengorbanan itu sendiri.
“Dulu, masa raih pendapatan RM20,000 hingga RM30,000 sebulan, saya tak beli kereta mewah BMW misalnya. Masih senang memakai kereta jenama mampu milik. Saya sentiasa beringat, kita ini bukan macam Hollywood, bayaran lebih tinggi.
“Selagi 50 peratus tiada dalam tangan, janganlah beli barang mahal-mahal. Saya pun teringin nak pakai jenama mewah, tapi lebih senang untuk berpijak di bumi nyata,”katanya.
Kongsi Nur lagi, dia bersyukur kerana ketika dirinya hidup susah, tiada pekerjaan waktu itu, keluargalah yang banyak membantu tanpa mempertikai pilihan jalan kerjayanya sebagai anak seni.
“Ibu bapa saya pun bukannya orang kaya. Tapi baik mereka dan adik-beradik, semua jasa mereka saya akan kenang sampai bila-bila kerana zaman saya susah, mereka sentiasa ada di sisi.
“Sebab itulah, saya cakap amat memahami perasaan bila seseorang itu tiada kerja dan sumber pendapatan. Kalaulah kaya, saya nak bantu semua orang. Tapi saya rasa keluarga dan adik-beradik perlu diutamakan dahulu sebelum orang lain,” katanya.
Menurut Nur, dia bagaimanapun sentiasa percaya segala kemelut ini akan berakhir sekiranya masing-masing berusaha untuk keluar menangani krisis kewangan.
Susah dapat publisiti
Dalam pada itu, membawa Nur kepada isu dirinya yang dilihat tidak begitu mendapat perhatian dari aspek publisiti berbanding artis-artis lain seangkatan, Nur bagaimanapun tidak berkecil hati.
Bukan sehari dua berada dalam industri, 22 tahun juga sudah cukup untuk membuktikan bahawa Nur adalah seorang penyanyi yang berpengalaman selain bakat yang ada bukan sekadar tempelan.
“Saya sedar perkara itu lebih-lebih lagi sebelum masuk program Gegar Vaganza. Tapi saya faham, lumrah dunia seni pula jika seseorang artis itu popular, maka ramailah yang akan pergi kepadanya dan diberikan lebih perhatian.
“Macam saya ini, kalau tak ada produk baru atau lagu baru, maka memang susah sikitlah nak dapat liputan. Kalau tiada itu, maka tak ada sangatlah tumpuan itu diberikan pada saya,”katanya.
Sengaja mengusik dirinya sebagai seorang individu yang penuh dengan rasa rendah diri, kata Nur, bukan itu soalnya.
Lebih melihat dirinya sebagai seorang yang pemalu, menurut Nur, sebenarnya sukar untuk dia mengubah satu daripada sikap yang ada pada dirinya itu.
“Memang saya ini pemalu sikit. Sebab sebelum masuk Gegar Vaganza, agak lama juga saya tinggalkan dunia seni dan tak ada produk baru selain berkelana di negara orang.
“Jadi, secara tak langsung, saya tak kenal ramai orang, selain tak turun sangat ke majlis-majlis hiburan, jadi ambil masa sikit selain tak berapa kenal dengan wartawan yang baru,”katanya.
Selain itu,dia yang masih lagi dalam rangka promosi untuk lagu Galeri duet bersama penyanyi Kayda, bagaimanapun mengaku merindui zaman sebelum pandemik yang mana lebih mudah untuk semua penyanyi sepertinya turun padang mempromosikan lagu.
“Tetapi walau dalam situasi sekarang, saya masih bersyukur kerana lagu itu mendapat sambutan dan diterima ramai. Selain itu, banyak juga lagu yang saya tulis dan hasilkan dijadikan lagu runut bunyi drama.
“Alhamdulillah atas semua rezeki yang dikurniakan-Nya. Saya pun tak nak orang cakap hidup di sini cuma bergantung dengan suami sedangkan ramai tak tahu kerja saya tidak cuma menyanyi.
“Dari segi kewangan, saya ada pendapatan sendiri dan tidak mengharap pada ihsan suami sahaja. Suami seorang yang pemurah dan banyak membantu. Cuma kalau bab kerja saya, lebih senang untuk saya kendalikan sendiri,”katanya.