KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nomad meluahkan rasa kesal hati apabila semakin ramai rakyat yang menyalahgunakan media sosial dan mengeluarkan kenyataan kesat tanpa adab.
Menurut penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Tetap Menantimu, tidak kurang juga segelintir pengguna ada yang bertujuan semata-mata untuk meraih perhatian umum.
“Bila Malaysia sedang dalam situasi yang berusaha sedaya upaya ini, ramai pula yang makin salah gunakan platform dan kurang ajar. Malahan yang nak meraih perhatian pun banyak.
“Ya benar anda memberitahu tentang perkara sebenar tapi adab dalam Islam bukan macam ini yang patut dipraktikkan. Janganlah macam itu,” luahnya di Instagram Story.
Dalam kenyataan sama Nomad atau nama sebenar, Nur Mohd Alieff Ayub, 33, mendedahkan dirinya seorang yang tidak ambil pusing dengan permasalahan kelakuan pengguna media sosial, namun kali ini dia benar-benar terganggu.
“Aku ini jenis manusia yang jaga dan buat hal sendiri. Tapi ini kali pertama aku rasa macam tak seronok dengan apa yang berlaku.
“Kalau mampu tolong, kalau kurang mampu cukup doakan supaya dipermudahkan urusan bagi yang kurang mampu, itu saja!
“Kita semua tengah berjuang bukan? Hati masing-masing tidak tenang dan banyak yang memberontak. Janganlah tambah keadaan jadi panas,” kata anak kelahiran Terengganu semoga jangan ada yang ambil hati dengan kenyataannya itu.
Mengakhiri pesanan dalam penulisan penyanyi itu turut menyeru khalayak sama-sama mendoakan semoga Malaysia kembali harmoni dan tenang seperti sedia kala.