JAKARTA : Terpalit dengan kes penyalahgunaan dadah jenis Syabu, pelakon Nia Ramadhani dan suaminya, Ardi Bakrie tidak bersendirian dan tetap menerima sokongan daripada rakan-rakan selebriti yang bersimpati dengan kedua-dua mereka.
Menurut laporan media, kalangan artis dan selebriti mula menggunapakai dan menyebarkan tanda pagar Maaf Untuk Nia Ardi menerusi platform media sosial masing-masing.
Antara yang dilihat berbuat demikian ialah penyanyi dan pelakon terkenal, Marshanda, Raffi Ahmad dan Nagita Slavina.
Menurut Raffi dalam satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram, dia percaya selagi namanya manusia, seseorang itu tidak terlepas daripada melakukan kesalahan namun setiap kesilapan harus diperbaiki.
“Manusia tempatnya luput dan salah. Tidak ada manusia yang sempurna. InsyaAllah, pasti kita boleh menjadi manusia yang lebih baik lagi di masa hadapan.
“Semangat untuk bisa melangkah dengan lembaran baru, maju ke depan. Ini adalah untuk sahabat saya, Adri dan Nia. Kami sayang anda berdua,”katanya.
Tidak ketinggalan memberi kata-kata semangat buat Nia dan Adri ialah pengacara dan pelakon, Ayu Dewi yang mendoakan kesejahteraan suami isteri tersebut.
“Semoga Nia dan Ardi melewati ujian ini. Semua ujian yang kita semua manusia alami lahir batin akan menjadi pendewasaan untuk hari yang lebih baik nantinya, dengan iman Islam yang semakin bertambah,”katanya.
Bagaimanapun, sokongan yang diluahkan oleh rakan-rakan artis telah meraih pandangan yang positif dan negatif daripada warga net yang mengikuti perkembangan isu ini.
Ada juga antara mereka tampil dengan komen berbaur sindiran selain menganggap tidak wajar menyatakan sokongan kepada ‘penagih dadah’ dan berharap kedua-duanya segera menerima hukuman yang setimpal.
Minggu lalu, dunia seni hiburan rantau Asia Tenggara dikejutkan dengan berita penahanan pelakon tersebut dan suaminya yang didapati terlibat dengan penyalahgunaan dadah jenis syabu oleh pihak berkuasa.
Kedua-duanya bersama pemandu peribadi, didakwa di bawah Akta 127 Undang-Undang Nombor 35 Tahun 2009 Bahagian Narkotik yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama 4 tahun.