JAKARTA : Pelakon dan pengacara terkenal, Raffi Ahmad, 34, menumbangkan 10 ekor lembu dan kambing pada jumlah yang sama untuk disedekahkan kepada mereka yang memerlukan sempena sambutan hari raya Aidiladha hari ini.
Perkara tersebut dikongsikan oleh wakil pemilik haiwan korban tersebut, Elsa, kepada media tempatan selain memaklumkan bahawa Raffi sudah lama menempah kesemua haiwan tersebut sempena perayaan pada tahun ini.
“Dia barangkali sudah lama memikirkan hasrat membeli haiwan-haiwan itu untuk menjalankan ibadah korban. Raffi menghubungi pihak kami dan terus memaklumkan hajat itu tanpa bertanya pun berapa harga seekor lembu dan kambing yang dijual.
“Dia cuma katakan okey dan mahu ambil sahaja,”katanya.
Selain itu, kata Elsa, permintaan Raffi tersebut berjaya dipenuhi oleh pihaknya dengan menyediakan jumlah lembu dan kambing terbaik buat selebriti kaya tersebut.
“Nanti ada lagi yang lebih besar, khusus untuk dia kami sediakan. Sebenarnya, haiwan-haiwan yang kami jual memang dapat permintaan ramai terutama ketika musim hari raya korban ini,”katanya.
Menerusi tinjauan dalam akaun instagram Raffi, dia berkongsi berat kesemua haiwan tersebut bersama pengikut dan peminatnya.
Kata Raffi, kesemuanya memiliki berat mencecah 1.4 tan.
Dalam pada itu, menurut Elsa, daging-daging korban tersebut akan diagihkan kepada beberapa lokasi dan kepada pelbagai pihak yang telah diaturkan oleh Raffi.