Prihatin dan cakna dengan persekitaran semasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka mengambil inisiatif mewujudkan talian khas mengesan dan membantu warganya yang memerlukan bantuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 bermula 1 Jun lalu.
Inisiatif ini digerakkan oleh unit Waqaf, Zakat dan Infaq (EL-WAZIF), UiTM berkenaan. Ia disebarkan dalam kempen yang disebarkan melalui aplikasi Whatsapp dan media baharu seperti Facebook, Instagram dan lain-lain.
Menurut Koordinator EL-WAZIF, Muaz Mohd. Noor, kempen itu digerakkan sebagai salah satu cara untuk mengesan para pelajar dan staf UiTM Melaka yang betul-betul terdesak dan memerlukan sepanjang tempoh PKP ini.
Katanya, sebagaimana orang lain, ada juga dalam kalangan pelajar dan staf yang benar-benar terkesan dengan PKP kali ini, namun mereka tiada saluran untuk memohon bantuan.
Selain itu, jelasnya, segelintir mereka juga malu untuk meminta secara langsung. Jadi kempen ini bagi mengesan dan membantu mereka yang memerlukan.
“Kita mengutamakan warga UiTM yang hilang mata pencarian dan terputus bekalan makanan sejak bermulanya PKP 3.0 pada 1 Jun yang lalu.
“Para pelajar atau staf hanya perlu menghantar mesej melalui whatsapp kepada nombor talian yang diberikan mengikut kampus masing-masing.
Pegawai seksyen infak kami bagi ketiga-tiga kampus sentiasa bersiap sedia membantu mereka, dengan menjawab pesanan whatsapp mereka sepanjang waktu pejabat,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Muaz berkata, kempen itu mendapat sokongan Rektor UiTM Cawangan Melaka, Prof. Dr. Abd. Halim Mohd. Noor sebagai salah satu usaha kebajikan terhadap warganya.
“Bahkan beliau bersetuju untuk melanjutkan kempen sepanjang Julai ini dengan jangkaan lebih ramai warga UiTM, khususnya staf yang betul-betul mengharapkan bantuan ihsan daripada majikan,” katanya.
Berdasarkan rekod El-Wazif, sehingga 30 Jun, sebanyak 70 permohonan diluluskan serta-merta melibatkan peruntukan lebih RM15,000 daripada Tabung Amanah Sedekah.
Selain itu, UiTM Melaka baru-baru ini turut meluluskan permohonan zakat lebih 704 pelajar dari ketiga-tiga kampus dengan peruntukan hampir RM150,000.