Kasihan Poklip bila dengar cerita seorang artis yang mengadu terkesan dengan impak pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh. Poklip sendiri pun naik sedih dan simpati.
Kisahnya, seorang rakan Poklip bercerita, pelakon ini menangis-nangis menghubungi meminta tolong daripadanya.
Bayangkan dia tidak mempunyai sebarang pendapatan setelah aktiviti seni tidak boleh dijalankan. Maka mahu tidak mahu, terpaksalah dia menagih simpati dan meminjam wang rakan-rakan untuk meneruskan hidup.
“Dulu masa jadi pelakon pun tak popular mana. Sendu je aku ini. Jadi pelakon tambahan sahajalah. Cuma bila tak boleh shooting ini, lagi teruk. Langsung tak ada pendapatan,” kongsinya kepada rakan Poklip itu,
Poklip musykil juga, mana pergi perniagaan yang dia pernah jalankan satu ketika dahulu. Namun rupa-rupanya sudah lingkup. Tak mampu dia meneruskan perniagaan yang menuntut perbelanjaan besar.
Selepas berbual dan berkongsi cerita, dia dengan nada segan mahu meminjam wang daripada rakan Poklip itu.
“Pinjam RM100 boleh?” kata pelakon ini yang merayu-rayu supaya identitinya tidak disebarkan.
Poklip pun tanyalah sama ada dia memberi pinjam wang tersebut kepada pelakon itu.
“Mestilah bagi, kasihan tau dia,” jawab rakan Poklip itu. Bagus, rezeki kita dikongsi bersama, baru berkat.