KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menyarankan agar penganjuran Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) dapat ditangguhkan ke satu masa yang lebih sesuai.
PFM dalam kenyataan berkata, saranan itu adalah merujuk kepada keadaan industri perfileman yang cukup tertekan ekoran penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan.
“Ahli jawatankuasa PFM yang mengambil pandangan ahli PFM, penerbit filem tempatan dan penggiat seni melihat kesesuaian penganjuran FFM31 pada tahun ini disambut hambar.
“Penggiat seni mengalami kesusahan untuk mencari pendapatan akibat Covid-19. Bagaimana kita ingin raikan segelintir yang berjaya dalam majoriti yang berdepan keperitan untuk menyara hidup?
“Sehubungan itu, PFM memohon kepada Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) agar menangguhkan FFM31 ke masa yang lebih sesuai atau tahun hadapan,” jelas kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan sama, PFM juga mencadangkan agar FINAS memanfaatkan peruntukan penganjuran FFM31 untuk membantu penggiat seni termasuk mendapat suntikan vaksin Covid-19.
“Keutamaan adalah untuk meningkatkan semula ekonomi seluruh penggiat seni agar mereka dapat bekerja seperti biasa dan tidak hanya bergantung kepada subsidi kerajaan,” tambah kenyataan itu lagi.