JAKARTA: Pelakon popular Indonesia, Nia Ramadhani dan suaminya, Ardi Bakrie tetap berdepan hukuman undang-undang walaupun sudah mula menjalani rawatan pemulihan di sebuah pusat rehabilitasi di Bogor, Jawa Barat.
Menurut peguam mereka, Nur Zainab, pasangan suami isteri itu juga sudah bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan berhubung dakwaan penyalahgunaan dadah jenis syabu selepas ditahan oleh pihak berkuasa minggu lalu.
“Kami sedang menghadapinya. Nia dan Ardi juga sudah bersedia. Cuma setakat ini, kita menunggu perkembangan terbaharu. Apa yang pasti, proses undang-undang akan terus berjalan.
“Cuma saya minta kita semua menghormati dan menunggu proses itu berjalan. Saya sebagai peguam jika melihat klien sakit, harus direhabilitasi dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Zainab juga tidak dapat memberi maklumat lanjut tentang lokasi pasangan itu menjalani rawatan pemulihan.
“Semuanya di bawah kuasa Badan Narkotik Nasional (BNN) dan pihak polis. Jadi saya sendiri tidak tahu dengan jelas lokasi mereka menjalani rawatan tersebut. Boleh tanya polis,” katanya.