KUALA LUMPUR: Penyanyi Sedalam-Dalam Rindu, Tajul Arif, meluahkan kerinduan terhadap ibunya di kampung apatah lagi sudah dua tahun tidak beraya bersama-sama.
Tajul Arif atau Tajul Ariff Noor Md. Shari, 23, menerusi perkongsian di Instagram berkata, segalanya berubah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Sudah lama tak pulang ke kampung halaman kerana kekangan merentas negeri. Tak pernah lagi, kalau beraya tak balik. Sudah dua tahun.
“Nanti kalau sudah boleh merentas negeri, Tajul balik ya… Bawa cucu lelaki ibu, tidak dapat berjumpa sejak lahir lagi cuma buat panggilan video saja sekarang ini,” tuturnya sedih.
Tajul juga berkongsi, rindu seorang ibu terhadap anaknya sampai dizahirkan menerusi perkongsian di Facebook.
“Comel tak Tajul masa sekolah rendah, masa itu masuk pertandingan nasyid. Kesian ibu sampaikan menyiarkan semula gambar lama,” tulisnya.
Menerusi perkongsian sama, Tajul turut melayangkan pertanyaan kepada pengikut dan peminatnya akan sudah berapa lama tidak pulang berjumpa dengan ahli anggota keluarga.
Rata-rata membalas bahawa mereka juga senasib dan mengharapkan semoga negara kembali pulih seperti sediakala.
Untuk rekod, Tajul berkahwin dengan Nurul Shamieza Eddie pada 10 Disember 2017 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Adriana Carissa dan Adrian Rifqy.