PETALING JAYA: Pelakon dan usahawan, Zoey Rahman, berkongsi kisah semasa permulaan perniagaan kosmetiknya, Mika Series, yang penuh dugaan sekitar empat tahun lalu.
Menerusi perkongsian di entri Instagram, Zoey mendedahkan ketika baru mengorak langkah dalam dunia perniagaan kosmetik itu, dia pernah menerima kiasan daripada kenalan seolah-olah memperlekehkan usahanya dalam menceburi bidang perniagaan tersebut.
“Mula-mula, kawan gelakkan saya. Betul ke kau nak buat perniagaan kosmetik ini, biasanya dunia kosmetik untuk perempuan sahaja. Takkan kau nak bersolek untuk promosi?
“Selain itu, boleh kaya ke buat kosmetik ini? Biasanya kaya sekejap sahaja. Betul ke kau nak keluarkan di Watson, mereka terima ke produk lokal macam ini?
“Mampu ke produk Melayu bersaing dengan jenama antarabangsa lain, ditambah dengan pandemik Covid-19. Kemudian, mereka senyum sinis. Seolah-olah memperlekehkan semangat saya,” luahnya.
Bagaimanapun, Zoey tidak mengambil komen-komen tersebut sebagai perkara negatif. Malah, dia tidak berputus asa serta tetap meneruskan impian selain percaya dengan rezeki Allah.
“Namun saya yakin, rezeki Allah itu di mana-mana sahaja. Selagi kita berusaha dan sentiasa bersyukur atas nikmat yang ada.
“Saya percaya jika kita ikhlas dan berikan yang terbaik untuk pelanggan dari segi kualiti serta perkhidmatan, saya yakin mereka akan cari kita semula. Percayalah. Untuk berjaya, kita harus pekak dan buta. Buta dengan halangan di hadapan dan pekak dengan kata-kata cacian,” coretnya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet menitipkan semangat kepada pelakon dan usahawan berkenaan agar tidak mudah berputus asa sekaligus terus berjaya dalam bidang perniagaan.