Menyembelih haiwan korban adalah sunat muakkad iaitu amat digalakkan kepada umat Islam. Ia adalah salah satu ibadah yang agung sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s kepada anaknya Nabi Ismail a.s sebagai memenuhi perintah Allah SWT.
Rentetan daripada peristiwa inilah disyariatkan untuk kita melaksanakan ibadah korban.
Antara dalil mengenai ibadat korban adalah firman Allah SWT yang bermaksud: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (al-Kauthar: 2)
Antara hadis yang berkaitan dengan amalan korban adalah sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Hari Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (Riwayat al-Tirmizi)
Alhamdulillah di negara kita memang ramai umat Islam yang mengambil bahagian dalam korban. Ada yang berkorban seekor lembu atau kambing dan ramai juga yang mengambil satu atau beberapa bahagian lembu untuk korban.
Menyembelih haiwan korban sama ada kambing, lembu atau unta hanya boleh dilakukan seusai solat Hari Raya Aidiladha sehingga akhir hari Tasyrik. Oleh itu, penyembelihan haiwan korban hanya boleh dibuat pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijah.
Apa yang perlu diberi perhatian oleh peserta korban adalah beberapa larangan yang perlu dipatuhi supaya menggandakan lagi pahala korban.
Perkara itu adalah anjuran untuk tidak memotong kuku dan memotong rambut bermula 1 Zulhijah (11 Julai 2021) sehingga hari sembelihan bagi mereka yang melaksanakan ibadah qurban.
Dengan kata lain, bagi peserta korban, hari ini adalah hari terakhir untuk anda memotong kuku dan rambut.
Ia berdasarkan sabda Rasululah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang ingin menyembelih (korban) dan telah masuk 10 awal Zulhijah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah sampai korban itu dilaksanakan.” (Riwayat Muslim)
Oleh yang demikian, majoriti ulama mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh bagi sesiapa yang melanggarnya.
Bagaimanapun ia tidaklah termasuk dalam kategori haram. Oleh itu, dibenarkan memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wuduk dan ibadah-ibadah lain yang wajib.