KUALA LUMPUR: Penyanyi, Kucaimars berterima kasih dan menghargai keberanian seorang remaja wanita yang mengirimkan luahan isi hatinya, baru-baru ini.
“Saya hargai sangat apa yang awak tulis itu. Insya-Allah ada rezeki kita jumpa,” kata Kucaimars ringkas menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di Instagramnya.
Terdahulu wanita yang tidak didedahkan identitinya mengambil peluang berterus terang hatinya sudah terpikat dengan penyanyi yang popular menerusi lagu Jawab itu.
“Selagi saya tidak berterus terang selagi itulah saya akan makan hati. Jadi sebaiknya saya dapatkan jawapan terus walupun tidak diterima, setidaknya saya dapat jawapan.
“Apa pun terima kasih sebab sudi baca pengakuan perasaan saya terhadap awak. Ini memang perkara paling gila pernah saya lakukan selama 24 tahun ini,” luahnya yang sedar diri tidak ada peluang.
Dalam luahan sama juga remaja itu memberitahu, dia menyukai Kucaimars atau nama sebenarnya Amirul Husyairi Nani, 24, bukan kerana sebagai artis tetapi mempunyai ciri-ciri lelaki budiman.
“Mula-mula minat sebab awak suka cover lagu popular Indonesia. Selain senyuman, tengok cara awak melayan ibu, rasa perkara itu comel sangat,” pujinya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata rakan artis dan peminat turut memuji keberanian wanita misteri tersebut tampil meluahkan isi hatinya.
Sebagai informasi, pengakuan gila oleh remaja wanita kepada Kucairmars bukanlah kali yang pertama, malah tahun lalu penyanyi itu pernah menerima luahan isi hati serupa itu.