KUALA LUMPUR: Penyanyi rap dan komposer terkenal, Kmy Kmo, siap sedia untuk menghantar skuadnya ke pusingan kelayakan Ikon Siri Antarabangsa tertutup yang akan bermula pada hujung bulan ini.
Kmy Kmo atau Lukmanul Hakim, berkata, dia mula menceburi ke bidang sukan elektronik (e-Sukan) ini selepas melihat sambutan sukan mobile gaming dalam negara kian menggalakkan.
Katanya, sambutan ini terdiri daripada pemain lingkungan umur 13 tahun hingga ke 35 tahun dan di akademinya yang berpengkalan di Rawang itu juga terdapat pemain muda berumur 14-15 tahun.
“Pada 1 Julai tahun lepas, saya bersama sama dua sahabat saya Irszuan Zabani dan Redzuan Khalid telah bersepakat untuk tubuhkan akademi e-Sukan yang diberi nama SDGR EA.
“Tahun ini, genap setahun Akademi SDGR EA beroperasi dan bermacam asam garam dapat saya belajar. Ada kenangan pahit berharga dan ada kenangan manis berjaya. Itu semua membuatkan kami untuk terus fokus ke hadapan.
“Dalam tahun ini juga skuad SDGR EA EBLZ ( Wildrift ) berjaya layak ke pusingan kelayakan “Icon Series International ( Tertutup )” yang akan bermula pada hujung bulan ini,” ujarnya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.
Dalam masa yang sama, tiga skuad Mobile Legend Bang Bang (MLBB) di bawah naungannya iaitu EBLZ, VEGA, dan PLUS juga sedang giat menjalani latihan mengikut jadual yang diberikan jurulatih profesional di akademi untuk persediaan MPL MY di musim akan datang.
“Harapan saya, semoga pasukan-pasukan di bawah jagaan saya ini dapat memberikan saingan sihat di dalam dunia e-Sukan ini.
“Saya juga berharap negara kita terus memandang serius tentang dunia sukan elektronik ini dan melahirkan para pasukan serta pemain yang terdiri daripada anak muda yang mewakili malah membawa nama negara kita di mata dunia,” ujar Kmy Kmo.