KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Esma Daniel menyelar tindakan sikap segelintir orang ramai yang mengkritik busana kontinjen Malaysia ketika majlis pembukaan Sukan Olimpik 2020 baru-baru ini.
Menurutnya, usahlah diperlekehkan busana kontinjen yang mampu mengguris perasaan mereka dan sebaiknya mendiamkan diri kalau tidak sukakan busana yang diperaga oleh para atlet negara.
“Mereka pergi ke sana dalam ketika bahaya masih lagi belum reda namun demi negara dan maruah, mereka pergi dengan semangat yang berkobar-kobar. Waktu ini sangat penting sokongan moral daripada rakyat untuk membakar semangat.
“Perasan bangga para atlet menggayakan busana ketika raptai bersama negara-negara tatkala dunia memerhatikan mereka harus dipuji. Kecaman dan kritikan busana walhal mereka belum lagi bertanding pastinya menggoyangkan semangat para atlet.
“Anda tidak ada di sana, anda tidak tahu betapa gemuruhnya mereka ketika bersaing dengan negara lain. Kalau tidak suka diam sajalah, tiada siapa pun minta pandangan anda yang hanya merobek perasan mereka,” tegurnya di Instagram.
Menjengah ruangan komen, majoriti bersetuju dengan kenyataan teguran pelakon Tercipta Satu Ikatan itu. Bahkan komen pelayar IG berkata, yang penting adalah kejayaan yang bakal dikecapi dan doakan kebaikan buat kontinjen negara.