KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Ifa Raziah enggan ambil pusing dengan komen-komen negatif yang menyifatkan dirinya sebagai ‘mengada-ngada’ kerana enggan menerima suntikan vaksin selain Pfizer.
Menerusi Instastorynya, Ifa atau nama sebenar Saripah Raziah Mustapha, 45, menegaskan tindakannya itu bukan kerana kemahuan diri, tetapi disebabkan nasihat doktor.
“Siapa yang nak kena cucuk atau tak nak kena cucuk, terpulanglah pada empunya badan masing-masing. Cucuk pun akan mati juga, tak cucuk pun akan mati juga kalau dah sampai ajal.
“Kalau tak nak kena cucuk, tak apa, jangan jadi kaki cucuk. Yang penting Miss Diva bukan mengada-ngada tak nak kena cucuk, doktor yang tak bagi cucuk. Lain kali dia kasi cucuk, akan cari yang secocok!” tulisnya panjang.
Sebelum ini Ifa Raziah menerima kecaman pengguna media sosial kerana dengan sewenang-wenangnya membatalkan janji temu vaksinasi kerana tidak diberikan suntikan vaksin Pfizer.
Dia bagaimanapun menafikan tindakan itu didorong kerana kehendak sendiri untuk memilih vaksin.
Menerusi satu hantaran lain di Instagram sebelum ini, Ifa menegaskan dia bukan sengaja berbuat demikian, tetapi tindakannya itu adalah kerana meyakini vaksin Pfizer sahaja yang sesuai diambil disebabkan masalah kesihatan yang dialaminya.
“Itu hak kita nak ambil atau tidak walaupun sudah disediakan oleh kerajaan Malaysia dalam aplikasi MySejahtera.
“Cuma, setahu saya kalau di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), mereka akan bekalkan penerima dengan vaksin Pfizer. Tapi, jadi lain pula apabila saya nak Pfizer dan diberi Sinovac,” katanya.