KUALA LUMPUR: Pengarah tersohor, Michael Ang menyelar seorang individu yang disifatkannya bimbo (tidak cerdik) dalam meluahkan pendapat di media sosial.
Michael menerusi Instagram mengutuk secara terbuka tanpa menyebut nama individu berkenaan.
“Pada pandangan saya, seorang bimbo akan selamanya menjadi bimbo. Kahwin Mat Salleh dan tidur sekatil tetap bimbo. Tetapi kadang-kadang bimbo ini tajam juga pisaunya! Siapa faham, faham lah ya!” tulisnya.
Tidak setakat itu, Michael yang mesra dipanggil Mike turut menasihatkan kepada individu tersebut dan golongan sepertinya agar tidak menunjukkan kebodohan mereka di laman sosial.
“Kalau tiada benda cerdik nak disampaikan sila duduk diam-diam dan jangan tunjuk kebodohan kat satu dunia! Malaysia dah cukup parah, tidak payah menambah lagi! Buat la kebajikan ke, bagi kata-kata positif ke!” katanya lagi.