KUALA LUMPUR: Pemergian pelakon hebat, Allahyarham Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy amat dirasai penggiat industri seni tanah air.
Antara yang terkesan adalah sutradara terkenal, Shahrulezad Mohameddin yang berkongsi kesedihan di Instagram selepas menerima khabar duka tersebut.
“Jibek abang dah tiada. Al-Fatihah,” tulisnya.
Perkongsian Shahrulezad itu turut menerima maklum balas pelakon, Ardell Aryana yang menulis di ruangan komen.
“Al-Fatihah semoga arwah ditempatkan di syurga Firdausi tanpa hisab dan azabnya,” tulisnya.
Shahrulezad atau lebih dikenali sebagai Budak Ijat merupakan pengarah bagi drama bersiri, Kerana Cintaku Saerah yang dibintangi Benjy dan Datin Seri Umie Aida.
Dalam pada itu, pelakon Adam Corrie, menerusi Instagramnya menulis ucapan takziah di atas pemergian Allahyarham Benjy.
“Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un. Allahummaghfirlahu warhamhu wa ‘afihi wa’ fuanhu.
“Moga Allah ampuni dia, rahmati dia, maafkan dia, muliakan kematian dia, lapangkan kubur dia, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggal dia dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya. Semoga dia ditempatkan di kalanagan orang-orang yang beriman.
“Salam takziah dari saya,” tulisnya.