BARU-BARU ini, rakan saya yang merupakan seorang pemuzik meluahkan hasrat mahu menjual gitar. Ia mendapat reaksi segera dari kawan-kawan kami kerana tiada siapa mahu dia sampai ke tahap menjual gitar.
Namun, keadaannya tersepit. Disebabkan sekatan pergerakan, operasi pejabatnya terhenti dan dia tidak bergaji selama sebulan.
Gitarnya belum dijual dan saya harap tidak akan dijual, tetapi itulah realiti kehidupan pemuzik independen ketika ini. Hanya segelintir kecil yang menjadikan muzik sebagai kerjaya utama, kebanyakannya ada kerjaya dalam bidang lain. Apabila kerjaya utamanya terjejas, mimpi muzik mereka perlahan meretak.
Namun, saya percaya dalam kabut pandemik ini kita masih mampu berjumpa cahaya. Itu juga yang dipercayai sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka Atas Angin.
Atas Angin merupakan penganjur gig yang aktif dan prolifik dalam lapangan muzik independen tempatan. Sudah banyak gig yang mereka anjurkan dan mereka berani berhadapan dengan pandemik.
Oktober tahun lalu, Atas Angin menganjurkan Atas Angin Recovery Show. Setahu saya, itu gig fizikal patuh SOP pertama yang dianjurkan dalam pandemik. Mereka berjaya buktikan bahawa ‘anak-anak indie’ di Malaysia boleh menjaga disiplin dan mematuhi SOP sepanjang berlangsungnya gig. Mereka juga antara tulang belakang penganjuran Hari Gig Kebangsaan April lalu.
Kali ini mereka tampil pula dengan Indie Dari Rumah, sebuah festival muzik maya yang menampilkan lebih 30 pemuzik dari tiga buah negara. Festival ini akan berlangsung bermula 18 sehingga 31 Julai ini.
Pengasas Atas Angin, Arif Imran atau Bam berkata, festival ini dianjurkan untuk mempamerkan sokongan dan menghidupkan semula ekosistem lapangan muzik independen tempatan yang semakin terabai akibat pandemik.
“Kami lihat dah banyak kugiran yang putus harapan, nak jual gitar, jadi kami cuba wujudkan sesuatu supaya orang nampak industri ini masih bergerak walaupun sedang tenat dan berhadapan pelbagai dugaan.
“Kami mahu beri motivasi supaya semua orang dapat bertahan sebab sikit lagi yang perlu kita hadap untuk kembali macam dulu,” kongsinya.
Setakat ini Atas Angin telah mengumumkan 15 artis akan menyertai Indie Dari Rumah. Barisan fasa pertama itu turut melibatkan nama besar muzik independen seperti The Impatient Sisters, Patriots dan Shizuka Ben Aman. Tidak ketinggalan juga kugiran baharu seperti Late Night Frequency dan Nada Tsuma.
Mungkin nama yang paling menarik perhatian dalam barisan itu ialah 6ixth Sense yang pernah popular di seluruh negara lebih sedekad lalu. Saya difahamkan mereka kini kembali dengan imej dan gaya muzik baharu yang lebih alternatif.
“Antara objektif kami adalah mahu tunjukkan bakat independen di Malaysia boleh terus hidup walau apa pun yang menghalang.
“Mereka boleh rakam dari rumah atau studio, boleh main akustik. Kugiran hardcore pun boleh buat persembahan dalam talian. Tiada sempadan dari segi kreativiti atau kualiti,” kata Bam.
Satu perkara lagi yang menarik tentang Indie Dari Rumah, ia turut melibatkan kugiran dari dua negara jiran kita iaitu Singapura dan Indonesia. Setakat ini nama mereka belum diumumkan tetapi saya difahamkan terdapat dua kugiran dari Singapura dan dua dari Indonesia yang akan turut memeriahkan Indie Dari Rumah.
Seakan menjadi identiti Atas Angin juga, mereka tidak keberatan memberi ruang kepada kugiran baharu walaupun mungkin secara kewangan, ia tidak begitu menguntungkan.
“Kami ajak saja semua kugiran dan yang terima serta setuju dengan jemputan kami, mereka masuk. Banyak lagi kugiran yang nak ikut serta tetapi kami terpaksa tolak kerana tak cukup ruang.
“Festival ini boleh bantu kugiran baharu dari segi dokumentasi profil mereka. Mereka boleh beri video persembahan ini untuk rujukan penganjur lain atau apa-apa pertandingan selepas ini,” kongsi Bam.
Inisiatif Atas Angin ini perlu disokong dan diraikan kerana dalam kesempitan pandemik, masih ada penganjur yang sanggup berkongsi tenaga dan masa untuk para artis menonjolkan karya serta untuk peminat menikmati karya.
Atas Angin mahu mengangkat kembali semangat dan suasana muzik yang kian malap. Kita jabat tangan dan bersama menyokong usaha ini. Paling penting, kita nikmati persembahan-persembahan yang ada nanti buat melepas rindu kepada gig fizikal yang entah bila dapat kita nikmati semula.
Bermula 18 sehingga 31 Julai ini, sama-sama kita penuhi ruang komen di saluran Youtube Atas Angin MY. Kita bertahan terus dan terus!