KUALA LUMPUR: “Abah moga tenang, sejahtera dan damai di sana.”
Itu doa dititipkan pelakon dan penyanyi, Arja Lee menerusi satu perkongsian video detik-detik terakhir yang dirakam bersama bapa tersayang, Ramli Uteh yang kembali bertemu pencipta 26 Jun lalu.
Dalam video berdurasi pendek yang dirakam pada 1 Mei yang lalu itu, Arja atau nama sebenar Azharudin Ramli, 37, mengabadikan momen-momen akhir sebelum menghantar bapanya itu pulang ke Jempol, Negeri Sembilan setelah lama berada di Kuala Lumpur.
“Abah sangat gembira dapat balik kampung. Jelas diwajahnya…betul. Ibu bapa ini memang nak balik rumah mereka sendiri walau apa pun. Makbulkanlah doa-doa mereka ini.
“Dan saya baru perasan dalam video ini adalah kali terakhir kami bersama abah, kucup abah, pegang tangan abah dan bergurau dengan abah. Itulah Abah kami,” tulisnya.
Ramli, 78, menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 4.45 petang dan dikebumikan pada 27 Jun 2021 di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serting, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.