Berfikir sejenak, penulis cuba untuk mengingati kembali jalan cerita. Mencari semula keterujaan dalam filem Major Grom: Plague Doctor itu. Sepertinya penulis meraba-raba mencari barang dalam gelap.
Secara ringkasnya filem Rusia itu diadaptasi menerusi komik siri. Menceritakan seorang detektif, Igor di St. Petersburg yang mempunyai personaliti tersendiri. Malah corak kerjanya pula suka bersendirian tanpa dibantu pasukan sokongan.
Kisah bermula apabila golongan ‘kayangan’ kalis undang-undang. Satu sebutan kes langgar lari di mahkamah, seorang remaja lelaki didakwa atas kesalahan membunuh kanak-kanak perempuan. Bagaimanapun, dia dibebaskan selepas perbicaraan yang mendapati kononnya tidak bersalah.
Susulan itu, membuatkan Igor geram dan cuba untuk mencari alternatif sebagai pembelaan terhadap mangsa kanak-kanak itu.
Dalam bercita-cita untuk menegakkan keadilan dan menjaga keharmonian di St. Petersburg, satu kekecohan berlaku selepas lelaki yang disabit dengan kes langgar lari, Oleg, telah mati dibunuh oleh pembunuh yang dipercayai memakai topeng berupa bentuk mulut Burung Kenyalang.
Dalam masa sama, seorang pakar teknologi, Sergei Razumovskiy, telah melancarkan aplikasi Vmeste untuk kebebasan rakyat berkongsi apa sahaja kandungan yang mereka mahukan. Pendek kata macam Instagram dan Facebook. Sergei juga mempunyai visi sama dengan Igor.
Jadi, apakah pendekatan dan perancangan seterusnya untuk Igor dan Sergei mempertahankan keamanan di negeri itu? Dapatkah Igor menyelesaikan kes ini seorang diri? Siapakah pembunuh misteri tersebut?
Dengan itu, penulis melantik anda sebagai detektif kedua bagi membantu siasatan menerusi platform Netflix.
Menyentuh bab perjalanan cerita. Bagi penulis, filem itu menarik cuma perlu dipendekkan lagi dari 2 jam 18 minit ke sejam setengah mungkin? Sejam pertama saja penulis hampir pakai topeng dan buat kecoh sebab masa terbuang dengan penceritaan yang tidak perlu diberi fokus.
Namun sejam berikutnya, filem itu berjaya memujuk penulis dan fokus sampai ke penghabisan cerita. Aksi bermula tanpa henti ditambah pula persembahan lakonan utama Tikhon Zhiznevsky (Igor), cukup bertenaga dan bergaya.
Jadi apa tunggu lagi, saksikan filem ini dan nilai sendiri mengikut pemikiran anda. Do svidaniya!