KUALA LUMPUR: Pengacara Tanya Doktor, Dr. Say Shazril berterus terang bahawa dia sudah penat dengan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dalam usaha membendung penularan jangkitan Covid-19.
Pun begitu, menerusi perkongsian di Instagramnya, hati kecil Say Shazril mengharapkan agar keadaan kembali seperti sedia-kala.
“Kilang masih dibenarkan beroperasi dengan surat MITI, kes masih tak turun setelah sebulan PKP, amat memenatkan. Tak nak ambil tahu tapi kena tahu.
“Baru-baru ni masa nak beli barang runcit, saya terimbau lockdown kini tak macam tahun lalu yang mana media sosial dipenuhi dengan kandungan positif seperti memasak, buat kek, bersenam dan dalgona-ing.
“Lockdown kali ini lebih kepada untuk sara hidup. Dekat kedai runcit tengok troli orang lain kebanyakannya dipenuhi keperluan. Kalau tanya saya fasal macam mana kekal positif? Jawapan saya terpaksa. Kalau tidak siapa lagi nak jaga keluarga saya? Ada hari rasa sedih atau terlalu banyak fikir, saya hanya tidur,” luahnya.
Pada masa sama pelakon TV komersial itu teruja kerana bakal menimang cahaya mata kedua dan melihat anak pertamanya membesar dengan sihat.
“Yang jernih daripada PKP ini, saya dapat banyak luangkan masa dengan keluarga, tengok Ace (Aezril) membesar dan juga tengok adik Ace dalam kandungan membesar.
“Dari antenatal scan hari ini (pagi tadi) terserlah ke-bam-an (gempal) pipinya penangan durian dan waffle A&W ibunya,” katanya yang menjangkakan kelahiran anak kedua pada bulan Ogos depan.
Dalam perkongsian sama Say Shazril juga bertanya khabar dengan peminat dan pengikutnya. Hasil pertanyaan itu rata-rata berkongsi suka duka di ruangan komen entri tersebut.