PETALING JAYA: Penulis lirik tersohor tanah air, Datuk Habsah Hassan, 71, disahkan positif Covid-19 petang semalam, selepas menjalani ujian calitan pada isnin lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau memaklumkandia sedang menjalani rawatan di Hospital Pakar KPJ Damansara, setelah terpaksa dikejarkan ke hospital malam semalam akibat mengalami sesak nafas.
Bagaimanapun, keadaan kesihatan Habsah masih terkawal selepas diberikan alat bantuan oksigen untuk bernafas dan ubat-ubatan.
“Sekarang doktor sedang beri oksigen dan ubat. Oksigen dalam badan saya rendah, tetapi tidak teruk dan masih lagi terkawal.
“Saya positif petang semalam. Sebelum ini, saya ingat selsema biasa dan sudah seminggu mengalami kesukaran untuk bernafas.
“Tetapi bila saya buat ujian calitan semasa membuat pemeriksaan tahunan, saya telah disahkan positif virus berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu seluruh ahli keluarganya sedang menjalani kuarantin di rumah kerana hanya bergejala ringan.
Sehubungan itu, Habsah sempat mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak pernah lekang mendoakan kesihatan dirinya di sana.
“Ujian Allah, saya tidak tahu di mana saya dijangkiti virus berkenaan. Bagaimanapun, saya ucapkan ribuan terima kasih buat semua yang sentiasa mendoakan dan mengambil berat terhadap saya.
“Doakan saya cepat sembuh. Berhati-hatilah kerana kita tidak tahu di mana virus itu berada,” ujarnya.