Dilema kru & pekerja belakang tabir - Utusan Malaysia

Dilema kru & pekerja belakang tabir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKERJA dan kru belakang tabir, lazimnya tidak mempunyai suara yang besar, selantang individu seni hiburan yang sudah terbiasa berada di hadapan.

Tidak seperti artis, selebriti, pengarah dan penerbit misalnya. Mereka dilihat lebih bertuah kerana sudah tersedia mempunyai platform yang terpandang dek orang dan mudah meraih perhatian ramai dalam menyuarakan sesuatu.

Justeru, apabila seorang demi seorang dalam kalangan mereka terpaksa menebalkan muka mengaku sedang terdesak dengan keadaan semasa akibat tidak dapat bekerja, ia sememangnya adalah satu siren kecemasan yang harus diambil peduli.

Rangkuman kejadian tidak mampu membayar sewa dan dihalau dari rumah, ratusan ringgit bil-bil keperluan yang tertunggak, terpaksa pulang ke kampung sehelai sepinggang malah tiada duit untuk membeli makanan, golongan ini ternyata terjejas parah.

Semuanya adalah senario realiti yang berlaku sejak industri perfileman tidak dianggap sebagai sektor keperluan dan diarahkan tutup oleh kerajaan sehingga ke satu tarikh yang masih samar dan tidak pasti.

Situasi ini telah mula membuka mata banyak pihak dan antara inisiatif yang dapat dilakukan sebagai tembok pertahanan sementara adalah menerusi misi bantuan barangan keperluan yang digerakkan oleh rakan-rakan industri sendiri.

Melihat kepada situasi yang kian meruncing, berikut adalah beberapa layangan pandangan yang dikumpulkan pasukan Pancaindera mengenai isu ini.

Mereka ini berjiwa pejuang – Nadiya Nisaa

Terlibat secara tidak langsung dalam menggerakkan misi gerakan bantuan, pelakon Nadiya Nisaa, 36, enggan duduk diam cuma melihat atau mendengar sahaja kepayahan yang dilalui rakan-rakan industri yang terjejas daripada cakap-cakap mulut.

Bagi Nadiya, kebanyakan kru dan pekerja belakang tabir ini sebenarnya memiliki jiwa bak pejuang namun keadaan benar-benar mendesak membuatkan mereka terpaksa menahan malu meminta pertolongan daripada rakan-rakan lain.

“Sesiapa pun bagi saya, jika berada dalam terdesak akan melakukan hal yang sama. Dulu, waktu PKP pertama ramai kru dan pekerja ini tak boleh bekerja tetapi masih boleh mencuba untuk hidup dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

“Ada usaha, berniaga makanan misalnya. Tetapi kalau sudah sampai ke fasa PKP 3.0, mereka pun sudah tiada modal pusingan sebab semasa sektor perfileman dibuka sebelum ini pun sangat sekejap dan ramai tak sempat nak kerja kumpul duit simpanan.

“Kadangkala, mereka kerja ini pun cuma untuk makan harian, tak dapat nak simpan duit apa lagi kalau ada keluarga besar. Keadaan ini benar-benar menyedihkan dan saya bimbang seandainya lama lagi kami dapat kembali bekerja,”katanya.

Pun begitu, Nadiya melihat semangat setiakawan yang ada pada setiap warga pekerja industri untuk mengambil inisiatif membantu rakan-rakan sebagai satu nilai yang sukar dicari ganti.

Baginya, dalam keadaan sekarang, meski ada yang mungkin mempunyai perbezaan pendapat atau sengketa sebelum ini, perkara itu harus diketepikan dahulu kerana fokus utama adalah solidariti kepada sesama sendiri.

“Sebagai pekerja industri kreatif, kita sudah terbiasa membuat sesuatu kerja itu dalam semangat sepasukan. Selain itu, orang Malaysia ini pula memang secara lahiriahnya suka membantu orang. Jadi semangat itu diterapkan dalam misi bantuan masing-masing.

“Tak kisahlah dari segi wang tunai atau barangan keperluan, ramai yang sebolehnya cuba bantu. Kalau boleh nak pastikan tiada kawan-kawan yang tertinggal di belakang.
“Namun paling utama sama-samalah kita berdoa agar keadaan segera pulih dan kita semua boleh kembali bekerja. Kami memang nak kerja,”katanya.

Finas buat apa? – Khir

Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Kapten (K) Khir Mohd. Noor pula meluahkan rasa kesal kerana Finas seakan-akan tidak cuba menyelesaikan isu yang berlaku ini khususnya dalam usaha membantu ahli-ahli dan persatuan yang benar-benar terjejas kini.

“Di pihak persatuan, kami pun sudah tiada dana. Dalam masa sama, tanggungan sebanyak RM9,000 sebulan untuk bayaran gaji pekerja, sewa pejabat, bil-bil dan sebagainya masih perlu dilangsaikan termasuk bil pekerja yang dimasukkan ke hospital.

“Duit keluar tapi tiada sumber pendapatan yang masuk. Keadaan memang sukar sekarang. Kalau setakat nak bantu dua tiga orang untuk beli barangan keperluan dapur, saya masih boleh lagi tolong guna duit poket sendiri.

“Tapi susah juga hati bila memikirkan ramai lagi yang perlu dan mengharapkan bantuan. Saya pun tak mampu nak bantu semua kerana ada tanggungan keluarga sendiri. Jadi diharapkan Finas dapatlah cari jalan terbaik untuk selesaikan isu dana tersebut,”katanya.

Bagaimanapun, kata Khir, pihaknya berharap Finas dapat menyalurkan dana tersebut kepada setiap persatuan di bawahnya agar bantuan yang sepatutnya dapat diagihkan kepada ahli-ahli dengan adil dan saksama.

Tiada job, tiada gaji

Tidak mahu hanya berpeluk tubuh, jurukamera, Isyraq Naiman, mula menjual produk makanan di depan rumah bagi mencari pendapatan sementelah aktiviti seni masih belum dibenar beroperasi.

“Memang susah sebab kami ini makan gaji ikut kerja. Ada job, ada gaji. Tapi kalau tiada penggambaran dijalankan, macam mana kami hendak cari makan. Ramai juga rakan kru yang mengadu sedang susah.

“Setakat ini saya sendiri bersama rakan buka gerai kecil-kecilan depan rumah. Alhamdulillah, ada rezeki. Tetapi risau juga kan. Sampai bila kita harus berdepan dengan situasi begini,” katanya.

Jelasnya, ada segelintir rakan-rakannya terpaksa pulang ke kampung dan seperti sudah putus harap untuk bekerja sebagai kru produksi. Apatah lagi, dengan keadaan yang tidak menentu, mereka tidak berani untuk bergantung harap.

“Ada juga kru yang terpaksa berkongsi satu bilik bersama pasangan kru lain. Nak buat macam mana, terpaksa. Ada yang balik kampung dan tolong mak ayah sahaja. Kerja-kerja kampung, asal dapat duit.

“Saya berharap agar ada solusi yang lebih dinamik berhubung aktiviti seni ini. Malah, dana dan sumbangan yang diberi kerajaan juga harap dapat disalur dengan cepat dan ikhlas,” katanya yang terlibat dalam drama Halim Halima.

Terkesan dengan PKP

Penerbit merangkap pengasas Syndicated Network, Muhammad Firdaus Zahari, 35, mengakui cukup terkesan sementelah banyak kerja produksi yang terpaksa dihentikan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Penggiat kreatif seperti kami tidak kurang terkesan dengan keadaan sekarang apabila banyak kerja penggambaran yang terpaksa dihentikan sepanjang PKP.

“Lebih parah lagi apabila projek yang diusahakan perlu siap sebelum tarikh akhir yang telah dipersetujui. Meskipun stesen penyiaran merombaknya mengikut keperluan semasa, ia masih singkat dan sukar untuk dikejar lebih-lebih ketika PKP ini,” katanya.

Dalam masa sama, Firdaus mencadangkan agar stesen-stesen penyiaran dapat memperuntukan insentif awal kepada penggiat-penggiat industri kreatif termasuk pengarah dan penerbit yang bergantung kepada projek sebagai punca pendapatan.

Katanya, sekurang-kurangnya cara itu dapat mengurangkan beban yang ditanggung golongan ini yang hanya menerima bayaran penuh setelah projek disiapkan dan diterima stesen penyiaran.

“Oleh itu, saya berharap kerajaan dapat membenarkan syarikat produksi untuk sekurang-kurangnya menjalankan penggambaran di dalam studio dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Cara ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kru produksi yang hilang pendapatan ketika musim pandemik ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya