PETALING JAYA: Disney+ Hotstar mengumumkan tayangan perdana eksklusif bagi terbitan aksi langsung Original, Club Mickey Mouse musim keempat di platformnya, mulai hari ini.
Musim baharu ini bakal menampilkan personaliti media sosial dan Ketua Mouseketeer baharu, Eric Lau, Mouseketeer paling muda, Melynna, serta Mouseketeer asal iaitu Wafiy, Erissa, Gabriel, Faiz serta Ellya.
Selain itu, musim keempat ini terdiri daripada 13 episod pada setiap Rabu, menyajikan tema dan muzik yang asli lagi unik, dengan lebih keseronokan, tarian, lagu, permainan serta aksi akrobatik berbanding musim sebelumnya.
Menurut Ketua Mouseketeer, Eric Lau Lofstedt, penonton yang menyaksikan rancangan tersebut pasti merasakan keterujaan sendiri di samping dapat melihat bakat yang didedikasikan tetamu jemputan.
“Peminat bakal mengalami satu pengembaraan menakjubkan! Musim ini bukan sahaja akan kembali dengan semua ciri hebat asal, tetapi dengan lebih lagu, muzik asli, koreografi tarian baharu, satu ‘webisode’ eksklusif serta lebih banyak lagi ‘backflip’!
“Saya telah melihat sendiri bakat dan dedikasi semua artis serta kru yang menyertai musim ini. Semoga peminat kami, tidak kira lama mahupun baru, dapat berseronok, belajar, menyanyi serta menari bersama kami,” katanya.
Musim baharu ini turut menampilkan selebriti, terdiri daripada pelakon Alif Satar, Sean Lee, Nabil Mahir, Elaine Daly, Alyssa Dezek, Sarah Suhairi, De Fam, Angkasawan Malaysia Dr. Faiz Khalee serta ramai lagi.