KUALA LUMPUR: Pelakon, Zainol Macwilson, memaklumkan dia kini beralih ke bidang pertanian dengan penjualan baja selepas menjual buah harumanis, baru-baru ini.
Menurut bapa kepada aktres terkenal, Zahirah Macwilson, berkata, tiada apa yang perlu disegankan dalam usaha mencari sumber pendapatan lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik ini.
“Saya rasa belum terlambat untuk ucapkan ribuan terima kasih sekali lagi kepada para pelanggan yang telah sudi melanggan harumanis dengan saya baru-baru ini.
“Sekarang dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penggambaran pun tidak ada. Jadi saya beralih ke penjualan baja pula. Yang penting kita mencari rezeki yang halal dan tidak perlu nak rasa malu juga segan!” coretnya.
Dalam perkongsian di Instagram, bekas penyampai berita TV3 pada tahun 90-an itu turut meninggalkan nombor telefon bagi tujuan perniagaan khusus buat warga Perlis sahaja.
Tinjauan Utusan Malaysia di ruangan komen pelakon itu, rata-rata peminat dan pengikutnya memuji sikapnya yang merendah diri dalam mencari rezeki tanpa menghiraukan kata-kata orang ramai selain dihujani komen doa yang baik-baik buat Zainol.