PETALING JAYA: Pengarah sensasi, Michael Ang, memperbetul semula kenyataannya sebelum ini di Instagram, mengenai kekeliruan yang didakwa ada hospital menawarkan individu memilih jenama vaksin yang diinginkan.
Bagaimanapun, pengarah terkenal itu memaklumkan dia bukan cemburu terhadap orang yang mendapatkan vaksin begitu mudah, tetapi baginya tidak adil pada yang telah menunggu lama bagi mendapatkan janji temu vaksinasi.
Di samping itu, dia juga menegaskan kepada pihak berkenaan supaya bersikap adil dalam memberikan janji temu vaksinasi kepada rakyat Malaysia.
Menerusi entri Instagram, Michael meluahkan rasa berang apabila melihat perkongsian kenalan ‘kayangan’nya yang didakwa begitu mudah hospital menawarkan vaksinasi kepada mereka.
“Saya nak memperbetul tentang kenyataan semalam, aku tahu apabila individu yang tidak datang semasa tarikh yang ditetapkan, ada kosong kerana mereka tidak mahu membazirkan vaksin tersebut.
“Yang aku bisingkan adalah rakan-rakan, keluarga atau orang-orang kayangan yang berkongsi banyak hospital tawarkan untuk mendapatkan vaksin semata-mata anda orang kayangan.
“Bagi saya tidak adil. Ramai lagi yang menunggu panggilan janji temu vaksinasi dari bulan Februari lepas, bagilah kepada mereka, janganlah jadi tak adil” tegas Micheal Ang.
Dalam pada itu, dia meminta kepada warganet agar berhenti menuduhnya cemburu kerana tidak mendapat vaksin di pesanan menerusi Instagramnya.
“Bukan cemburu sebab orang dapat vaksin secara mudah atau pilih vaksin. Aku cuma rasa tidak adil pada yang dah lama tunggu tak dapat lagi.
“Dalam kes ini, tidak perlulah nak berdajat atau kayangan sebab ini fasal nyawa. Jadi, tidak perlu nak DM aku maki-maki serta tuduh cemburu sebab tak dapat vaksin. Aku dah dapat dos pertama vaksin Astrazeneca,” coretnya panjang.