KUALA LUMPUR : Isteri penyanyi Ezad Lazim, Zeana Ramli, melahirkan rasa syukur kerana anaknya, Putera Muhammad Darwish, 6, tidak perlu menjalani proses jahitan di kepala setelah berlaku pendarahan akibat pergaduhan dengan kakaknya pagi tadi.
Menurut Zeana, walaupun tidak perlu menerima jahitan, Darwish masih perlu menerima rawatan lanjut.
“Alhamdulillah, selepas menjalani pemeriksaan doktor di Hospital Putrajaya, foktor kata luka di kepala Darwish tak perlu dijahit tetapi hanya membersihkan darah bekunya sahaja.
“Kami juga dibekalkan dengan ubat untuk Darwish makan dan sapu pada luka itu. Buat masa ini keadaannya sudah semakin okey dan kakaknya ada beritahu saya yang dia tak sengaja pun nak pukul adik dia itu.
“Biasalah budak-budak bergaduh. Nasib baik tak ada kecederaan yang serius,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Terdahulu, Ezad pada hari ini ada memuat naik satu hantaran di Instagram memaklumkan bahawa terjadi pergaduhan antara dua anaknya, Darwish dan Puteri Rania Keisha, 8, menyebabkan anak lelakinya itu berdarah di kepala akibat dipukul dengan penyangkut baju.
Vokalis kumpulan Exists itu juga memuat naik beberapa foto yang memaparkan keadaan anak lelakinya itu yang kemudiannya mendapat perhatian ramai pengikut dan peminatnya di media sosial.
Dalam pada itu, kata Zeana, selepas meminta anak-anaknya bercerita mengenai apa sebenarnya yang berlaku, difahamkan Darwish memarahi kakaknya kerana tidak menunggunya mandi.
“Saya pula baru nak mula masak. Tiba-tiba terdengar Darwish menangis. Bila saya bergegas ke arah mereka, tengok-tengok kepala si adik sudah berdarah. Penuh darah atas lantai, sampai saya dan Ezad rasa nak pitam.
“Tak tunggu lama, kami terus bawa Darwish ke klinik untuk dapatkan rawatan,”katanya.
Ezad dan Zeana mendirikan rumah tangga pada 29 Mac 2013 hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata tersebut.