KUALA LUMPUR: Pengarah dan penulis skrip, Afizah Asram menyambut baik pelapis baharu dalam bidang penulisan yang dilihat kebolehpasaran naskhah peserta cukup memberangsangkan.
Menurut pengarah telefilem Sebalik Baju itu, idea yang dihasilkan oleh para peserta bengkel disifatkan segar dan urban malah seni penulisan kreatif harus berevolusi.
“Idea cerita boleh datang daripada sesiapa walaupun mereka bukanlah penulis skrip sepenuh masa. Cuma kebanyakan orang tidak tahu bagaimana ingin membawa idea cerita mereka ke peringkat seterusnya.
“Jadi muncullah idea untuk mengendalikan bengkel cara menulis kertas kerja yang merupakan elemen penting sebelum sesebuah cerita itu ditayangkan ke skrin.
“Sehubungan itu, kita perlu memberi peluang kepada penulis yang baru berjinak-jinak untuk industri ini. Supaya berkembang dan menjadi lebih rancak dari sudut idea, cara berfikir dan meningkatkan tahap gaya penulisan mengikut zaman sekarang,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, selaku penggerak bengkel Dari Idea Ke Skrin, berkata, pihaknya menerima banyak penyertaan tetapi perlu disaring.
“Hal itu disebabkan, kebanyakan peserta yang dipilih mempunyai pengalaman atau latar belakang dalam bidang penulisan atau pun industri kreatif kerana misi bengkel ini adalah untuk membantu peserta membawa idea mereka ke skrin,” ujarnya.
Dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma), bengkel tersebut telah berlangsung selama lima hari dari 15 Julai sehingga 19 Julai lalu dan antara panel jemputan prolifik terdiri daripada Lina Tan, Khairunazwan Rodzy dan Ghaz Abu Bakar.