PETALING JAYA: Vokalis kumpulan terkenal 90-an, Nizam Laksamana, memberitahu isteri tercintanya, Salwati Zulkifli, yang menghidapi kanser payudara, dimasukkan ke hospital bagi tujuan pembedahan, pagi ini.
Menerusi perkongsian di entri Instagram, penyanyi lagu Gugurnya Bunga Cinta itu meminta semua warganet mendoakan isterinya agar sentiasa dalam keadaan sejahtera, kuat serta tabah menghadapi ujian tersebut.
“Berat untuk saya hadapi ini, bantulah saya dengan doa kawan-kawan semua. Mohon sedikit doa, isteri saya dimasukkan ke hospital pagi ini untuk tujuan pembedahan (kanser payudara).
“Moga isteri saya dalam keadaan sejahtera, kuat serta tabah. Moga doa kawan-kawan semua, Allah terima dan makbul,” coretnya.
Sebelum ini, Salwati dikesan menghidapi kanser payudara sejak penghujung Januari lalu serta menjalani proses kemoterapi di Hospital Kuala Lumpur.
Nizam sebelum ini mendedahkan dia berasa luluh setiap kali melihat isterinya mengerang kesakitan selepas menjalani proses kemoterapi tersebut. Bagaimanapun, dia perlu bertenaga serta kekal kuat untuk melawan penyakit berkenaan.