KUALA LUMPUR: Jenazah pelakon terkenal, Allahyarham Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 43, telah selamat dikebumikan pada pukul 11.45 pagi di Pemakaman Waqaf Pasar 4 Klambir Lima Kampung, Medan, Indonesia, hari ini.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah, mereka sempat menyaksikan proses pengebumian Benjy dalam siaran langsung video bersama keluarga dan anak Benjy sebentar tadi dari tanah perkuburan di Medan.
“Alhamdulillah semua urusan dipermudahkan oleh Allah untuk Benjy pulang ke negara abadi. Andai ada kesilapan yang pernah arwah lakukan saya memohon semua pihak untuk memaafkan Allahyarham dunia dan akhirat.
“Sesungguhnya Benjy adalah seorang manusia yang sangat kuat dan hebat untuk lalui segalanya dengan sendiri sehingga hujung nyawa,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, semua urusan jenazah Benjy diuruskan oleh pihak Penjara Tanjung Gusta dan Konsulat General Malaysia di Medan.