JAKARTA : Penyanyi dangdut terkenal, Ayu Ting Ting, 29, dicalonkan dalam senarai Faces 2021 atau pemilik wajah tercantik di dunia versi TC Candler.
Pencalonan Ayu itu sekali gus menyaksikan dirinya bersaing dengan sejumlah artis bertaraf antarabangsa lain yang juga tercalon dalam senarai tersebut untuk tahun ini.
Antara yang dicalonkan ialah Rose dan Jennie Blackpink, Dita Karang, Natalie Portman, Margot Robbie, Emma Watson, Selena Gomez dan Gal Gadot.
Mendengar khabar tersebut, Ayu ketika ditanya oleh media mengaku tidak menyangka namanya dicalonkan dan perkara itu cuma diketahui selepas dimaklumkan oleh peminat-peminat.
“Saya juga tak pernah tahu ya ada nominasi begitu sebenarnya. Itu pun dimaklumkan oleh peminat-peminat yang memberitahu menerusi Instagram, Twitter, Facebook dan lain-lain,”katanya.
Selain itu, menurut Ayu, dia tidak meletakkan sebarang harapan tinggi menerusi pencalonan itu memandangkan sedar bersaing dengan banyak nama-nama besar lain di peringkat antarabangsa.
“Saya rasa, jadi calon sahaja pun sudah membuatkan hati ini rasa gembira. Bersyukur sahaja apa pun itu, selagi ia masih positif dan bukan cerita negatif.
“Tak mahu fikir benda lain. Gembira sahaja lebih senang,”katanya.