LAPAN finalis wanita akan tampil dalam siri realiti televisyen enam episod terbaharu, Resipi Berani Maggi bermula 14 Julai ini.
Peserta akan melalui cabaran kulinari dan keusahawanan yang ditetapkan oleh tiga mentor atau Ikon Masakan dan Duta Jenama Maggi Cukup Rasa, Datin Eina Azman, Sheila Rusly dan Anne Idris.
Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi, Nestlé (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna berkata, program Resipi Berani Maggi dan PMWCBM, bertujuan memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita bagi melangkah keluar daripada zon selesa mereka supaya dapat mencuba sesuatu yang baharu.
“Kami mengetengahkan transformasi dan perjalanan penuh emosi para menti, yang akan memberi inspirasi kepada wanita lain untuk membuka langkah pertama bagi mencuba sesuatu yang baharu seterusnya membawa perubahan positif bagi diri mereka dan insan disayangi,” katanya.
Siri berkenaan adalah sebahagian Program Mentor Wanita Cukup Berani Maggi (PMWCBM).
Lapan menti terpilih merupakan pemilik perniagaan makanan dari rumah. Mereka juga adalah daripada kalangan 1,000 wanita mengambil bahagian dalam Bengkel Online Wanita Cukup Berani Maggi diadakan tahun lalu.
Peserta dinilai berdasarkan ketahanan, keberanian dan tekad mereka untuk berjaya dalam perniagaan makanan dari rumah, terutama dalam berdepan realiti hari ini.
Dalam program ini, menti akan berdepan cabaran dalam bidang kemahiran perniagaan, digital dan memasak serta sesi bimbingan maklum balas oleh mentor.
Juara bakal menerima modal sebanyak RM8,000 dan program bimbingan peribadi selama lapan minggu dari Ikon Usahawan, Anne Idris manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima modal RM5,000.