KUALA LUMPUR: Pelakon cantik, Hanna Aqeela mengakui dia menangis tanpa henti walaupun selepas babak penggambaran terakhir dalam drama Suara Hati sudah selesai.
Menurut Hanna, emosi watak yang dilakonkan itu sarat dengan derita yang dialaminya dan tangisan tersebut adalah air mata perasaan bercampur lega.
“Ya Allah… saya rasa lega sangat kerana beban watak yang penuh dengan emosi berat itu akhirnya berjaya juga dihabiskan.
“Alhamdulillah segalanya dari awal sehingga akhir penggambaran dipermudahkan-Nya. Apatah lagi ketika melakonkan pada babak-babak menangis,” ujarnya tersenyum sambil menghela nafas lega.
Pelakon berusia 31 tahun itu berkata demikian pada sesi sidang media secara maya untuk drama Suara Hati, baru-baru ini.
Berkongsi mengenai pengalamannya melakonkan watak Hani, kongsi pelakon itu, menerusi naratif Suara Hati, dia dapat belajar bahawa cinta itu tidak semesti memiliki.
“Sehabis baik mana pun kita cuba untuk jaga perhubungan demi cinta, kalau sudah ditakdirkan bersama orang lain maka itulah yang terbaik.
“Tetapi apa yang bakal berlaku selepas itu pun juga sebenarnya diluar kawalan kita. Perancangan Allah adalah sebaik-baik perancang.
“Secara peribadi pengalaman cinta saya pun sama, jodoh tidak berpanjangan. Nak buat macam mana lagi walaupun sudah sedaya upaya berusaha sama-sama pertahankan hubungan,” ujarnya.
Saksikan lakonan Hanna yang bergandingan dengan pelakon Syafiq Kyle menerusi drama Suara Hati bermula 19 Julai di slot Tiara, Astro Prima yang akan bersiara pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 6 petang.